57,110 notis kesalahan dalam 9 hari

57,110 notis kesalahan dalam 9 hari

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Shah Alam: Sebanyak 57,110 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan di seluruh negara, sepanjang pelaksanaan Op Khas Tahun Baru Cina (TBC) 2024 bermula 1 Februari lalu hingga semalam.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, dalam tempoh itu, pihaknya memeriksa 243,257 kenderaan.

Katanya, kira-kira 23 peratus kesalahan disebabkan pemandu gagal mematuhi peraturan jalan raya

“Berdasarkan analisis awal data operasi ini dalam tempoh lapan hari, kami mendapati tahap kesedaran dan pematuhan peraturan berada pada tahap rendah dan tidak memuaskan untuk keselamatan pengguna jalan raya terutamanya membabitkan kenderaan komersial.

“Justeru itu, JPJ akan terus meningkatkan tindakan penguatkuasaan melalui Op Khas ini untuk memastikan pengguna termasuk pihak syarikat, pemilik dan pemandu kenderaan komersial supaya mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Op Tahun Baru Cina (TBC) 2024 di Plaza Tol Kemuning, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan dan Timbalan Pengarah JPJ Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat.

Lokman berkata, Op Khas dilaksanakan itu juga memantau pematuhan tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan seperti ditetapkan sebelum ini.

“Pengendali kenderaan komersial diingatkan supaya meningkatkan tahap kawal selia keselamatan operasi kenderaan komersial bagi memastikan ekosistem jalan raya selamat kepada pengguna lain.

“Bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian di musim perayaan dan cuti persekolahan ini, kita memohon kerjasama orang ramai untuk meningkatkan tahap pematuhan.

“Ini termasuk mengelak melakukan sembilan kesalahan utama seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya, JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu termasuk mana-mana pengguna jalan raya yang masih tegar melanggar undang-undang ditetapkan.

“Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan

keselamatan jalan raya lebih selamat kepada semua pengguna.

“Dalam usaha melandaikan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya, kami memohon kerjasama orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya.

“Ini termasuk bertoleransi dengan pengguna lain demi keutamaan keselamatan diri dan keluarga ketika di jalan raya,” katanya.

Katanya, orang ramai boleh membuat aduan secara terus dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel

aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan kepada pihak JPJ.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top