KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berkaitan pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang melebihi had pegawai awam serta dakwaan wujudnya mafia korporat dalam SPRM .
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini siasatan oleh pihak berkuasa sedang dijalankan bagi meneliti semua dakwaan dan mendapatkan fakta yang lengkap serta sahih.
Justeru beliau berkata, adalah penting proses siasatan ini diberi ruang untuk dilaksanakan secara bebas, telus dan menyeluruh mengikut lunas undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
“Kerajaan juga yakin sebarang tindakan susulan hendaklah berpandukan hasil siasatan bagi memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan fakta, keadilan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Kerajaan sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan penubuhan (RCI) atau apa-apa mekanisme lain yang bersesuaian sekiranya didapati perlu demi kepentingan awam.
“Sehubungan dengan itu, sebarang pertimbangan berhubung cadangan penubuhan RCI bagi menyiasat isu mafia korporat dan perkara-perkara berkaitan akan dibuat berdasarkan proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang dengan mengambil kira fakta, dapatan serta perkembangan semasa hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang, integriti proses siasatan serta kepentingan awam,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta kerajaan menyatakan sebabnya suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja tidak ditubuhkan ke atas pemilikan saham Azam Baki yang pemilikan sahamnya melebihi had yang boleh dimiliki oleh pegawai awam dan dakwaan wujudnya mafia korporat dalam SPRM.
Azalina berkata, penubuhan RCI tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan perlu melalui prosedur yang ditetapkan.
Menurut beliau, proses itu bermula dengan penyediaan Memorandum Jemaah Menteri oleh kementerian peneraju sebelum mendapat kelulusan Kabinet dan seterusnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.
“Sekiranya diperkenankan, penubuhan RCI akan melibatkan penetapan terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan yang akan dimuktamadkan melalui pewartaan dalam Warta Kerajaan Persekutuan sebelum suruhanjaya tersebut memulakan fungsinya.
“Perjalanan RCI juga adalah berdasarkan peruntukan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] dan laporan yang disediakan hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum melalui formaliti lain, termasuk pembentangan kepada Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang, integriti proses siasatan serta kepentingan awam. – UTUSAN




