JOHOR BAHRU – Agama tidak wajar dijadikan bahan jenaka, dipermainkan atau diperlekehkan kerana tindakan sedemikian hanya akan mengundang penghinaan terhadap agama Islam.
Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam isu berkenaan wajar diberikan kredit meskipun jarang bersetuju dengan pendekatan politiknya.
Menurut beliau, penerimaan dan penghormatan masyarakat bukan Islam terhadap Islam sangat bergantung kepada bagaimana penganutnya ‘mempersembahkan’ Islam kepada mereka.
Jelasnya, interaksi, respons dan sikap umat Islam terhadap agama lain mesti berpandukan hikmah serta kebijaksanaan, bukan amarah atau emosi semata-mata.
“Apatah lagi dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia.
“Saya percaya rakyat tidak mahu agama dijadikan bahan untuk menghina, memprovokasi atau memalukan pihak lain,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Selasa.
Sheikh Umar berkata, pendirian itu konsisten sejak awal termasuk ketika berlaku insiden ‘memijak soolam’ dan isu ‘tahlil arwah Anthony Loke’.
“Mungkin latarnya sedikit berbeza, tetapi prinsip asasnya sama,” katanya.
Menurutnya, ajaran Islam mengingatkan umatnya agar tidak mencela sembahan dan kepercayaan agama lain sehingga menyebabkan mereka membalas dengan mencela Allah dan agama Islam tanpa ilmu.
“Moga kita semua memperbaiki diri dan belajar sesuatu,” katanya.
Sebelum ini, Akmal menegaskan agama bukan perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka susulan kontroversi membabitkan ucapan wakil UMNO yang menyentuh paderi dan biarawati pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu.
Akmal berkata, perkara berkenaan merupakan isu sensitif yang pasti mengundang kemarahan sekiranya perkara sama turut melibatkan imam dan umat Islam.
Kontroversi tercetus apabila Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said yang juga jurucakap UMNO Selangor menceritakan jenaka menggunakan watak seorang paderi dan biarawati serta penggunaan surah Mazmur dalam Bible
