am@hmetro.com.my
Kulim: Kedudukan geografi Malaysia yang berhampiran kawasan pengeluaran dadah utama di rantau Asia Tenggara menjadikan negara ini berdepan ancaman penyeludupan dadah antarabangsa sejak lebih empat dekad lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan pakar akademik Malaysia menjadi laluan transit dadah sejak awal 1980-an adalah berasas, berdasarkan tempoh panjang negara memerangi kegiatan penyeludupan bahan terlarang itu.
Katanya, Malaysia mempunyai sempadan darat dan laut sepanjang kira-kira 4,000 kilometer (km) selain kawasan perairan seluas 600,000 kilometer persegi yang memberi cabaran besar kepada pihak berkuasa.
“Dadah ini kita sudah lawan lebih empat dekad. Kalau sekarang 2026, tolak 40 tahun, jadi sudah tentu ada kaitan dengan tempoh yang lama itu.
“Kalau pakar menyebut ia bermula seawal 1980-an, perkara itu tidak syak lagi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Semarak Kebudayaan Masyarakat Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amer Fawwaz Mohamad Yasid yang dilaporkan berkata, kedudukan Malaysia berhampiran Segi Tiga Emas membolehkan sindiket antarabangsa memanfaatkan negara ini sebagai hab transit sebelum bekalan dadah dihantar ke negara lain.
Beliau dipetik berkata, negara ini menjadi laluan transit penyeludupan dadah antarabangsa sejak awal 1980-an berikutan kedudukan geografinya yang strategik, berhampiran kawasan pengeluaran dadah utama di rantau Asia Tenggara.
Mengulas lanjut Saifuddin Nasution berkata, berdasarkan taklimat terkini bahagian narkotik, kira-kira 80 peratus bekalan dadah yang memasuki negara ini datang dari luar termasuk kawasan Segi Tiga Emas dan Amerika Latin.
Katanya, baki 20 peratus pula adalah bekalan yang dihasilkan menerusi makmal dadah dalam negara.
“Sebab itu kita tengok melalui beberapa kes yang dilaporkan termasuk penangkapan juruterbang kita di Indonesia, rakyat kita di Surabaya atau di Jepun serta terbaharu pesawat yang disewa dan digunakan untuk bawa dadah dari Laos ke Manila.
“Kesemuanya itu memberikan kita satu isyarat bahawa kawalan keselamatan sempadan negara bagi mengatasi isu penyeludupan ini harus kita tingkatkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sudah membentangkan 17 inisiatif kepada Jemaah Menteri pada bulan lalu bagi memperkukuh usaha membendung penyeludupan melalui sempadan negara.
Katanya, inisiatif berkenaan dilaksanakan mengikut tiga fasa dan merangkumi pengukuhan undang-undang, peningkatan penguatkuasaan, perkongsian maklumat risikan, pembinaan kapasiti serta operasi bersama negara luar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




