am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, S Nadarajah terpaksa mengorbankan persiapan sambutan Deepavali demi memberi tumpuan kepada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau berkata, segala persiapan perayaan diserahkan kepada ahli keluarga, termasuk bapanya yang memaklumkan semuanya berjalan lancar.
Katanya, beliau sebaliknya akan meneruskan kempen esok dengan memberi tumpuan kepada masyarakat India yang menyambut Deepavali di kawasan berkenaan.
“Esok saya akan pergi ke beberapa kuil yang meraikan Deepavali di kawasan Gadek yang mestilah pengundi Gadek di sana.
“Selepas itu, ada beberapa jemputan daripada pengundi Gadek yang meraikan Deepavali. Jadi, saya akan ke rumah mereka,” katanya selepas program ceramah KJ bersama warga Gadek, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Nadarajah turut mendapatkan perkembangan persiapan daripada bapanya yang meminta supaya tidak bimbang dan meneruskan tugas berkempen.
Mengulas kempen sepanjang minggu ini, Nadarajah berkata, beliau menerima pelbagai keluhan daripada pengundi, termasuk ada yang menyuarakan pandangan dengan nada tinggi berikutan kesukaran dihadapi.
Katanya, beliau tidak melihat nada suara sebagai perkara utama, sebaliknya lebih mengutamakan perkara yang ingin disampaikan pengundi.
“Apa yang hati nak dikatakan kepada saya. Itu yang penting untuk saya,” katanya.
Katanya, antara isu yang kerap dibangkitkan pengundi sepanjang tempoh kempen adalah masalah banjir akibat longkang tidak dibersihkan selain kebajikan masyarakat.
Untuk rekod, Nadarajah berdepan saingan empat penjuru membabitkan Jegasilan Kungamboo daripada Pakatan Harapan (PH), Laveen Balaprabhakaran daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) serta Laila Norinda Maon daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).
© New Straits Times Press (M) Bhd




