Ali Puteh sebak jual kereta demi bayar hutang kakak ipar

Ali Puteh sebak jual kereta demi bayar hutang kakak ipar

KUALA LUMPUR – Pelawak Ali Puteh kini mula menjual satu persatu barangan peribadi termasuk kereta, motosikal serta trofi dalam usaha melunaskan hutang kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd. Ali.

Menerusi hantaran Instagram seorang individu yang juga rakannya, Ali kelihatan sebak melepaskan kenderaan tersebut sehingga isterinya, Melati Fitri Abdullah menitiskan air mata.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 35, juga dilihat memeluk serta menenangkan insan tersayangnya itu.

“Honda Accord, ‘sold’. Terima kasih hamba Allah ini datang dari Johor Bahru. Sangat mudah berurusan,” tulis keterangan video dalam laman sosial berkenaan.

Sebelum ini, sebuah motosikal RXZ rona merah yang dikatakan milik adik kepada Allahyarham Abam Bocey itu juga sudah mendapat pemilik baharu.

Ali juga menarik perhatian netizen apabila dia bersama isteri dan rakannya itu mengumpulkan piala kemenangan beberapa program realiti, dua hari lalu.

Menurut individu yang menggunakan akaun di bawah nama Pojie, kesemua trofi yang berada dalam gambar berkenaan sudah dijual.

“Sold. Sayang memang sayang. Terjual semua piala kenangan (program lawak). Insya-Allah ada rezeki lain nanti Ali Puteh dan Melati Fitri,” tulisnya.

Antara yang kelihatan adalah trofi Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, trofi Projek Komedi Warna dan satu lagi pertandingan lawak.

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memuji tindakan Ali yang berusaha melunaskan hutang tersebut.

Pada 2022, Ali Puteh diperintah Hakim Mahkamah Sesyen supaya membayar Siti Nor Hidayah Mohd. Ali sebanyak RM60,000 berhubung kenyataan mengaibkan wanita terbabit dalam Instagram. – MalaysiaGazette

Scroll to Top