Brussels: Sebanyak 26 daripada 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) menggesa jeda kemanusiaan segera bagi memastikan gencatan senjata di Gaza, Palestin.
Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell berkata, 26 negara anggota itu juga mengulangi sokongan mereka terhadap kenyataan sebelum ini yang menggesa kerajaan Israel mengelak daripada melancarkan operasi ketenteraan terhadap Rafah, sebuah bandar perlindungan terakhir di selatan Gaza.
“Negara anggota EU menggesa jeda kemanusiaan segera yang akan membawa kepada gencatan senjata yang mampan kepada pembebasan tebusan tanpa syarat dan kepada penyediaan bantuan kemanusiaan.
“Selain itu supaya kerajaan Israel tidak mengambil tindakan ketenteraan di Rafah kerana itu akan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah melanda dan menghalang penyediaan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan segera.
“EU juga sedang mengkaji langkah berkesan terhadap peneroka pelampau yang menyerang orang awam Palestin di Tebing Barat dengan sewenang-wenangnya,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.
Borrell tidak menyebut satu lagi negara yang tidak bersetuju dengan gesaan terbabit.
Bagaimanapun, Hungary dilaporkan menyekat kenyataan sama, beberapa hari lalu.
Kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin yang sebelum ini kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel ke atas Gaza dan mencari perlindungan di Rafah.
Rancangan Israel yang dilaporkan menyerang bandar itu membangkitkan amaran dengan banyak negara menggesa sekatan atau pembatalan operasi itu.
Kes pendakwaan Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai sedang berlangsung di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd



