Amanah kecam Pas ambil mudah isu hina sahabat nabi

Amanah kecam Pas ambil mudah isu hina sahabat nabi

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) menyelar tindakan kepimpinan Pas disifatkan mengambil mudah isu membabitkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berhubung dakwaan membawa naratif menghina dan memfitnah sahabat besar Nabi Muhammad SAW.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sekadar memberikan ‘peringatan’ tanpa sebarang tindakan disiplin tegas adalah amat mengecewakan.

Menurut beliau, kesilapan yang membabitkan Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA, Saidina Umar Al-Khattab RA, Saidina Uthman Affan RA dan Saidina Ali Abi Talib RA itu bukanlah satu keterlanjuran kecil atau isu khilafiah, sebaliknya melibatkan asas akidah serta penghormatan kepada institusi keagamaan.

Mahfuz turut menyelar alasan bahawa Ahli Parlimen Pasir Puteh itu “terpengaruh dengan penulisan sejarah”, sambil menyifatkannya sebagai satu pembelaan yang sangat lemah dan tidak munasabah.

“Sebagai badan tertinggi yang menapis dasar dan fatwa parti, rakyat berhak mempersoalkan bagaimana seorang yang gagal menapis kisah dongeng sejarah boleh diletakkan sebagai ketua pentadbir kepada institusi ulama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sikap bertolak-ansur yang melampau itu juga mendedahkan wujudnya amalan dwistandard dalam kepimpinan Pas.

Ujarnya, Pas yang sering mendakwa sebagai pembela agama dilihat ‘memilih bulu’ kerana bersikap agresif apabila mengkritik pihak lawan, namun bertukar menjadi apologetik dan pelindung apabila kesalahan besar dilakukan oleh pemimpin kanan sendiri.

Sehubungan itu, Mahfuz mendesak agar Nik Muhammad Zawawi direhatkan atau dilucutkan jawatan daripada Majlis Syura Ulama serta-merta sekiranya Pas benar-benar ikhlas dalam perjuangan menegakkan syiar Islam mengatasi kepentingan politik.

Menurutnya, tindakan sekadar memberi teguran lisan memberi isyarat yang salah bahawa maruah agama boleh dikompromi demi menjaga keharmonian politik dalaman dan imej luaran parti berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, umat Islam menuntut supaya siasatan dan tindakan tegas dilakukan oleh pihak polis serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) terhadap isu berkenaan.

Ujarnya, siasatan perlu dijalankan secara telus tanpa sebarang cubaan campur tangan atau perlindungan politik daripada mana-mana pihak.

Beliau turut menegaskan bahawa ketiadaan sebarang pendakwaan akan menyebabkan golongan tertentu merasakan mereka sahaja yang menjadi penentu kepada kesucian Islam.

Scroll to Top