Suami pukul isteri gara-gara cemburu

Suami pukul isteri gara-gara cemburu

BEAUFORT: Gara-gara mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain, seorang suami bertindak memukul muka isterinya sehingga cedera di Kampung Siaun, Menumbok,  Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, lelaki berusia 35 tahun berkenaan dikatakan mengamuk dan memukul isterinya yang disyaki mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Ismail Abdullah berkata, kejadian tersebut berlaku di dalam sebuah kenderaan di hadapan rumah pasangan suami isteri berkenaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 34 tahun mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan dan luka di bawah kening. Suspek turut mengugut untuk membunuh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan anggota ronda cegah jenayah (RCJ) Balai Menumbok menangkap mangsa di rumahnya di Kampung Siaun, Menumbok.

Ismail berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 15 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga. – UTUSAN

 

Scroll to Top