Paris: Presiden FIFA, Gianni Infantino terus berdepan tekanan apabila sekali lagi didesak meletakkan jawatan susulan kontroversi membabitkan cadangan pelaburan swasta yang kini dibatalkan.
Walaupun menerima sokongan daripada Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) serta beberapa pemimpin bola sepak Amerika Selatan, kedudukan peguam Itali-Switzerland berusia 56 tahun itu masih belum benar-benar kukuh.
FIFA sebelum ini memaklumkan badan induk itu berpotensi menjana sehingga AS$4.2 bilion (kira-kira RM17.9 bilion) berdasarkan penilaian AS$20 bilion (kira-kira RM85.4 bilion) menerusi penubuhan anak syarikat komersial baharu, FIFA Forward Enterprise (FFE), yang dicadang mengendalikan kejohanan seperti Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab.
Namun, cadangan itu mencetuskan bantahan, termasuk daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang kini berkonflik secara terbuka dengan FIFA.
UEFA semalam mengulangi pendiriannya bahawa badan itu sudah tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap Infantino, sekali gus mengukuhkan kenyataan yang dikeluarkan Sabtu lalu.
UEFA turut mengulangi ancaman untuk memulaukan kejohanan Piala Dunia, manakala salah satu ahlinya, Persekutuan Bolasepak Norway (NFF), menggesa Infantino berundur serta-merta.
“Kami akan meminta presiden FIFA meletakkan jawatan sekarang,” kata Presiden NFF, Lise Klaveness.
Bagaimanapun, Infantino dijangka tidak akan mengendahkan desakan itu dan meneruskan usahanya untuk dipilih bagi penggal keempat serta terakhir pada Kongres FIFA di Rabat, Mac depan.
Setakat ini, beliau adalah satu-satunya calon yang menawarkan diri, manakala tarikh akhir pencalonan ditetapkan pada 18 November.
Peraturan FIFA juga membenarkan satu kongres luar biasa diadakan bagi mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap presiden badan induk itu.
Klaveness, yang juga seorang peguam, dilihat ramai sebagai calon sesuai menggantikan Infantino dan berpotensi menjadi wanita pertama menerajui FIFA.
Namun wanita berusia 45 tahun itu menegaskan desakannya supaya Infantino berundur tidak didorong cita-cita peribadi.
“Kami belum sampai ke tahap itu.
“Bagi kami, fokus sekarang adalah kepada isu yang dibangkitkan, bukannya mengenai individu tertentu.
“Adalah pelik jika saya mula menjawab soalan mengenai diri sendiri, dan perkara sama juga terpakai kepada orang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




