KERESAHAN disuarakan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei susulan keputusan kurang memberangsangkan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 mempunyai asas tersendiri namun ia tidak menggambarkan keseluruhan prestasi pasukan negara ketika ini.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ini kerana badan induk itu sentiasa melipatgandakan usaha mempersiapkan skuad negara mengharungi saingan Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau berkata, adalah mustahil untuknya melakukan perubahan gerak kerja BAM dalam masa terdekat ini memandangkan berbaki kurang beberapa bulan sahaja lagi sebelum temasya berprestij itu membuka tirai pada 26 Julai depan.
“Saya sudah bercakap dengan Chong Wei semalam dan seperti biasa ia luahan perasaan beliau terhadap pemain kita. Saya kata kepada Chong Wei (sebenarnya itu) merupakan keresahan semua pihak,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.



