Langkawi : Pulau Tuba bersedia memikat hati pelancong domestik dan antarabangsa dengan menawarkan pengalaman percutian berteraskan suasana perkampungan lama yang sukar ditemui lagi di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, biar pun Langkawi merekodkan kemasukan melebihi tiga juta pelancong, angka kunjungan ke Pulau Tuba setakat ini masih kecil.
“Jumlah pelancong yang datang ke Langkawi mencecah jutaan orang, namun kemasukan ke Pulau Tuba sedikit. Keadaan ini menunjukkan potensi besar pulau berkenaan sebagai ‘permata tersembunyi’ yang masih belum digilap sepenuhnya.
“Pulau ini menawarkan suasana, ketenangan yang sukar diperoleh di tempat lain. Penduduk di sini juga masih mengekalkan nilai warisan dan budaya lama tradisional yang utuh, selain keaslian landskap kampung termasuk kelibat kerbau yang bebas berkeliaran,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelancong juga berpeluang merasai makanan laut unik dan eksotik seperti bronok dan siput gayam yang hanya boleh didapati di Pulau Tuba.
“Sekarang, pelancong tidak lagi mengejar bangunan dan kemudahan yang mewah, sebaliknya mereka mencari sesuatu yang unik. Saya yakin, Pulau Tuba merupakan destinasi pelancongan yang terbaik dan kita akan memfokuskan untuk mempromosikan segala keunikan yang ada ini kepada pelancong luar negara.
“Kerajaan negeri menyedari keistimewaan Pulau Tuba, jadi kita tidak akan biarkan ia begitu sahaja, fokus dan perhatian lebih akan diberikan kepada pulau ini,” katanya.
Mohd Salleh berkata, beberapa acara menarik juga disediakan untuk menyambut kedatangan pelancong di pulau itu, sekali gus memacu sektor pelancongan serta memberi manfaat eknomi secara langsung kepada penduduk.
Sementara itu, 31 pengamal media dari Kedah dibawa merasai keunikan cara kehidupan, budaya dan makanan tradisional masyarakat di pulau itu, selain berpeluang bermain sukan rakyat seperti menarik upih dan menikmati gulai kerbau yang menjadi makanan tradisi di sini.
Pulau Tuba mempunyai penduduk sekitar 5,000 orang dan menjadi satu daripada gugusan 99 pulau di Langkawi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




