Sempat minta maaf dan lepaskan burung peliharaan sebelum ditemukan lemas

Sempat minta maaf dan lepaskan burung peliharaan sebelum ditemukan lemas

am@hmetro.com.my

Tumpat: Lelaki yang ditemukan lemas di bawah Jambatan Pulau Ular, Pengkalan Kubor, di sini, petang semalam, sempat bersalaman dengan ibunya dan memohon maaf.

Mangsa yang dikenali sebagai Faizal, 39, turut melepaskan dua burung peliharaannya.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, Faizal yang mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori mental meminta maaf daripada ibunya semalam dan melepaskan dua burung peliharaannya.

“Ibunya bertanya mengapa melepaskan burung dan arwah menjawab selepas ini sudah tiada siapa lagi yang akan membelanya. Memang tak sangka semua perlakuan itu adalah petanda dia akan pergi selama-lamanya,” katanya ketika dihubungi.

Ahli keluarga itu tidak dapat memastikan sama ada mangsa terjatuh atau terjun ke dalam sungai kerana ketika kejadian, motosikal milik mangsa berada di atas jambatan terbabit.

Menurutnya, sebelum keluar rumah, arwah sudah siap menguruskan bapanya yang uzur termasuk menyiapkan makanan tanpa disuruh seperti kebiasaan.

“Faizal sudah lama menghidap penyakit mental dan hidupnya bergantung kepada ubat. Dia juga kerap lupa namun beberapa hari kebelakangan ini, Faizal banyak menunjukkan perubahan,” katanya.

Mayat lelaki itu ditemukan orang awam di lokasi kejadian sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa jam 4.50 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, mayat ditemukan berpakaian lengkap dengan baju T dan seluar sukan tanpa ada sebarang kesan kecederaan.

“Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top