PETALING JAYA: Seorang lelaki memandu kereta ke balai polis dalam keadaan berlumuran darah selepas diserang lelaki bersenjata dalam kejadian di kolam ikan Bandar Country Homes, Rawang pada Isnin lalu.
Lelaki berusia 47 tahun itu kemudian dihantar menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, satu laporan dibuat berhubung kejadian pada pukul 6.48 petang.
Beliau berkata, mangsa didapati dalam keadaan berlumuran darah ketika datang membuat laporan di Balai Polis Bandar Country Homes.
“Siasatan awal mendapat, mangsa dikatakan berada di dalam sebuah kereta pukul 5 petang sebelum diserang tiga lelaki tidak dikenali menggunakan senjata tajam.
“Mangsa melarikan diri ke balai polis sebelum dia yang mengalami kecederaan dibantu anggota polis bertugas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, mangsa mengalami kecederaan bahagian tangan, belakang badan serta bahu akibat kejadian itu
Kata beliau, kes isiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222,” jelasnya.-UTUSANhttp://utusan.com.my




