syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari diumumkan sebagai juara di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Amir yang juga pencipta dan penulis lirik lagu itu menewaskan 11 lagu lain yang bertanding sekali gus berjaya membawa pulang hadiah utama sebanyak RM100,000 dan trofi.
Lagu Hasrat juga adalah runut bunyi filem Imaginur lakonan Beto Kusyairy dan Diana Danielle.
Tempat kedua dimenangi lagu Sutera Itu nyanyian Aisha Retno dan berjaya membawa pulang hadiah RM50,000 dan trofi.
Sutera juga turut diumumkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik hasil undian penonton di Tonton dan membawa pulang RM12,000 dan trofi.
Sementara itu, lagu yang memenangi tempat ketiga iaitu Jangan Mati Rasa Itu nyanyian Aina Abdul berjaya membawa pulang hadiah RM30,000 serta trofi.
Selain itu, Aina juga turut memenangi kategori Vokal Terbaik dan berjaya membawa pulang hadiah RM12,000 serta trofi dan juga kategori Pilihan Alha Alfa dan membawa pulang RM12,000 serta trofi.
AJL38 mengangkat tema Muzikaverse dan diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Alif Satar.
Selain persembahan 12 lagu yang bertanding, penonton turut dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh Shila Amzah, Sissy Imann, Vanessa Renauld dan Girl Band menerusi lagu Sky Full of Stars (Coldplay), Hilang Naluri (Dewa) dan Jangan Khianati Aku (Azlan).
Babak penutup pula menyaksikan persembahan oleh Datuk Dayang Nurfaizah, Datuk Zainal Abidin dan Ella.
© New Straits Times Press (M) Bhd




