am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Lelaki yang bertindak agresif di Masjid Jamek Tangkak dalam kejadian malam semalam dipercayai mengalami masalah mental.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Idris Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 18 tahun bertindak agresif pada jam 10 malam tadi di masjid berkenaan.
Menurutnya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) tiba di masjid itu dan menemui lelaki tempatan dalam keadaan tidak terkawal berada di ruang solat masjid.
“Selepas dipujuk oleh polis dan ahli jemaah masjid, lelaki itu berjaya dibawa keluar dan dibawa ke balai polis berhampiran.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mengalami kemurungan dan berkelakuan pelik sejak tiga hari lalu.
“Ahli keluarga mangsa yang tinggal tidak jauh dari kawasan balai polis berjaya dihubungi dan membawa lelaki itu ke Hospital Tangkak bagi menjalani pemeriksaan serta rawatan.
“Keluarga suspek mengucapkan penghargaan kepada pihak polis kerana menyerahkan anak lelaki mereka dalam keadaan selamat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Gambar lelaki berkenaan tular sejak malam tadi dan didakwa berkelakuan pelik di masjid berkenaan selepas jemaah pulang daripada solat Isyak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




