Dua beradik jadi 'Oyen' kumpul duit poket

Dua beradik jadi 'Oyen' kumpul duit poket

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Taiping: Niat untuk tidak membebankan ibu bapa dan mahu mencari ‘duit poket’ sendiri mendorong dua beradik ini menjadi penghibur dengan memakai kostum kucing oyen di sekitar bandar ini sejak lebih sebulan lalu.

Shamsurifitri Shamsul Azmi, 15, dan adiknya, Muhammad Asyraaf, 13, memakai kostum kucing itu hanya pada hujung minggu dan cuti sekolah untuk membantu ibu saudara yang terlebih dahulu aktif dalam aktiviti itu.

Shamsurifitri berkata, dia dan adiknya yang berasal dari Batu 15 ½, Batu Kurau, di sini masih bersekolah dan mengakui mereka suka aktiviti itu kerana seronok dapat menghiburkan orang ramai terutama kanak-kanak.

“Hari biasa mak cik yang pakai dan kami akan pakai pada hujung minggu atau cuti sekolah saja. Kami akan bergilir-gilir pakai kostum kucing oyen biasanya saya akan pakai dua jam selepas itu berehat sekejap dan adik pula akan sambung.

“Saya suka bermain dengan budak dan seronok dapat hiburkan mereka, ada yang bergambar bersama kami dan akan memberi wang seikhlas hati. Sambutan diterima menggalakkan dan wang diberikan orang ramai itu dapatlah kami duit poket.

“Kadang-kadang kami beri juga duit pada mak dan seperti sekarang kami boleh beli barangan kelengkapan sekolah sikit-sikit mana yang tak cukup lagi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, ibu bapa, Noorul Aida Azami dan Shamsul Azmi Said yang masing-masing membuka salon dan berniaga buah tidak melarang minat mereka asalkan tidak menganggu pelajaran dan sentiasa menjaga diri ketika melakukan aktiviti di luar.

“Mak ayah beri kebenaran bantu mak cik tetapi mereka pesan jangan abaikan sekolah. Niat kami selain suka menghiburkan kanak-kanak, hanya untuk mencari rezeki halal tanpa paksaan sesiapa kerana mahu meringankan beban mak dan ayah.

“Ada juga kawan yang tahu kami buat kerja ini dan kami dapat pelbagai reaksi ada yang tanya tak malu ke dan ada juga yang puji cakap pandai cari duit. Kalau ikutkan memang ada rasa malu juga tetapi saya fikir ini rezeki dan asalkan halal.

“Kami gembira buat kerja ini dan biasanya berada di sekitar Taiping dan pernah juga ke Kulim, Kedah. Kadang-kadang mak cik dapat ‘job’ untuk majlis hari lahir dan kenduri juga,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Sementara itu, ibu saudaranya, Noor Atika Said, 29, berkata, dia tidal pernah memaksa dua anak saudara menyertainya dan mereka melakukan aktiviti itu ketika cuti sekolah saja.

Katanya, dia sudah melakukan aktiviti berkenaan sejak enam bulan lalu di sekitar Taiping.

“Anak saudara membantu secara suka-suka saja dan wang yang mereka dapat memang digunakan untuk membeli barang keperluan masing-masing selain belanja sekolah sekali gus dapat juga mengurangkan beban keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top