Jerat pelaburan untung 1,000 peratus

Jerat pelaburan untung 1,000 peratus

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menawarkan keuntungan sehingga 1,000 peratus kepada pelabur dalam tempoh 48 jam. Itu promosi dilakukan sindiket penipuan ‘Pelaburan Amundi’ untuk memperdaya mangsa mereka.

Kegiatan sindiket berkenaan berjaya dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dalam operasi khas di Johor dan Sarawak pada 6 dan 7 Mac lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil operasi berkenaan berjaya menahan 16 individu berusia 21 hingga 70 tahun.

“Semua suspek terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita itu berperanan sebagai pekerja syarikat dan pemilik keldai akaun yang digunakan untuk menipu mangsa.

“Operasi turut merampas 20 unit telefon pintar pelbagai jenama, satu komputer riba, tiga keping kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan satu beg silang,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini, hari ini.

Ramli berkata, sebanyak 15 kertas siasatan sudah dibuka terhadap skim penipuan ini membabitkan nilai kerugian RM166,331.

“Sindiket ini menawarkan pelbagai pakej untuk menarik minat pelabur sebagai contoh pakej basic dengan nilai pelaburan RM600 akan mendapat keuntungan RM8,500, manakala pakej premium dengan nilai pelaburan RM900 akan menerima keuntungan RM15,500.

“Terdapat dua pakej lagi menawarkan keuntungan yang sangat tinggi iaitu pakej crown dengan nilai pelaburan RM1,800 akan menerima keuntungan RM35,500 serta pakej superconquer dengan nilai pelaburan RM4,000 dan di janjikan keuntungan RM85,500,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain yang terbabit dalam skim berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top