Tahun kelima BBP Kuala Terengganu santuni golongan kurang bernasib baik

Tahun kelima BBP Kuala Terengganu santuni golongan kurang bernasib baik

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu meneruskan tradisi menyantuni golongan kurang bernasib baik menerusi Program Mencari Seribu Kerahmatan #Kongsirezeki# tahun ini.

Program memasuki tahun kelima itu menyantuni seramai 10 penerima membabitkan warga emas, ibu tunggal, asnaf dan orang kurang upaya (OKU) di sekitar daerah ini.

Ketua BBP Kuala Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata, kesemua penerima menerima barangan keperluan harian seperti seperti beras, minyak masak dan gula yang dibeli hasil sumbangan warga BBP Kuala Terengganu.

Katanya, idea melakukan program itu tercetus apabila melihat kesusahan dihadapi golongan berkenaan ketika melakukan operasi pemadaman api.

“Alhamdulillah, ini tahun kelima kami mengadakan program sama dengan tujuan membantu meringankan golongan memerlukan.

“Selain membantu mereka yang memerlukan, program ini juga dapat mendekatkan kami dengan masyarakat setempat.

“Program ini sudah menjadi tradisi kami di BBP Kuala Terengganu setiap kali Ramadan dan Insya-Allah, ia akan diteruskan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Rozizah berkata, program yang bermula sejak 2020 itu diadakan ketika kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ramai yang terjejas sumber pendapatan akibat penularan Covid-19.

Katanya, setakat ini, lebih 80 keluarga sudah menerima sumbangan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top