Musiala rebah lagi gara-gara gangguan saraf

BERLIN: Pemain tengah Bayern Munich, Jamal Musiala mendedahkan dia mengalami gangguan saraf selepas rebah buat kali kedua dalam tempoh tiga hari ketika aksi pramusim, semalam

Pemain antarabangsa Jerman berusia 23 tahun itu tiba-tiba terbaring di atas padang hanya beberapa minit selepas masuk sebagai pemain gantian dalam aksi persahabatan menentang Heidenheim.

Kejadian sama turut berlaku Sabtu lalu ketika Bayern menewaskan RB Leipzig di laman sendiri dan pada aksi perlawanan di Heidenheim, Musiala kelihatan bingung ketika menerima rawatan sebelum dibantu keluar dari padang.

Musiala kemudian mendedahkan di media sosial bahawa dia mengalami gangguan yang boleh menyebabkan sawan sementara tetapi boleh dirawat.

“Saya didiagnosis mengalami episod kehilangan kesedaran yang singkat dan sementara yang mudah dirawat serta berpunca daripada gangguan saraf.

“Keadaan ini boleh menyebabkan detik seperti yang berlaku baru-baru ini, ketika menentang Leipzig dan kini di Heidenheim.

“Saya tahu keadaan ini mungkin kelihatan menakutkan pada pandangan pertama, tetapi bagi saya, buat masa ini ia hanyalah sebahagian daripada kehidupan harian,” kata Musiala.

Musiala turut mengucapkan terima kasih atas semua mesej dan sokongan yang diterimanya sepanjang dia berdepan episod malang itu.

“Saya menerima rawatan perubatan terbaik dalam perkara ini dan saya sangat optimistik,” katanya.

Sabtu lalu, Musiala rebah di atas padang ketika menentang Leipzig dan memerlukan rawatan dalam keadaan cuaca panas dengan suhu ketika itu melebihi 30 darjah Celsius.

Musiala terlepas enam bulan pertama musim lalu akibat patah buku lali yang dialaminya ketika Piala Dunia Kelab, sebelum kembali beraksi dalam baki kempen dan mewakili Jerman di Piala Dunia 2026. – AGENSI/UTUSAN

Scroll to Top