MPAJ pandang serius salah guna tanah lapang babit warga asing di Pandan Mewah

MPAJ pandang serius salah guna tanah lapang babit warga asing di Pandan Mewah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menegaskan tanah lapang milik kerajaan tidak sepatutnya disalahgunakan bagi sebarang aktiviti atau tujuan yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan.

Dalam satu kenyataan hari ini, MPAJ memaklumkan sebarang penggunaan dan pembangunan tanah kerajaan perlu mematuhi peraturan serta mendapatkan kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan.

Katanya, pihaknya memandang serius isu penyalahgunaan tanah lapang, kebersihan persekitaran dan kehadiran warga asing di kawasan Pandan Mewah yang dibangkitkan menerusi perkongsian di media sosial baru-baru ini.

“Susulan isu yang dibangkitkan, MPAJ mengambil tindakan segera dengan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi berkenaan bagi menangani masalah kebersihan, pembuangan sampah dan keadaan persekitaran yang boleh menjejaskan keselesaan serta kesejahteraan penduduk.

“MPAJ berharap tiada mana-mana pihak mendirikan struktur atau binaan kekal secara tidak sah di atas tanah kerajaan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Mengulas isu kehadiran warga asing di kawasan berkenaan, MPAJ menjelaskan urusan berkaitan status imigresen, pemeriksaan dokumen perjalanan dan penguatkuasaan undang-undang imigresen adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia.

MPAJ meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan kemungkinan pelanggaran undang-undang imigresen mengemukakan aduan rasmi terus kepada imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, MPAJ akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai pihak berkuasa tempatan, khususnya dalam aspek kebersihan persekitaran, kesihatan awam serta pemantauan aktiviti yang tertakluk di bawah bidang kuasanya.

“Selain itu, penyelarasan bersama agensi penguatkuasaan berkaitan turut dilaksanakan bagi menangani isu yang menjejaskan kepentingan masyarakat.

“MPAJ turut menyeru penduduk setempat, pemilik premis dan komuniti di kawasan pentadbirannya supaya menjaga kebersihan, tidak membuang sampah secara tidak terkawal serta tidak menyalahgunakan tanah atau kemudahan awam untuk kepentingan persendirian.

“MPAJ komited untuk terus mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang isu kebersihan dan ketenteraman persekitaran di bawah bidang kuasanya, di samping memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan demi memastikan Ampang Jaya kekal sebagai kawasan perbandaran yang bersih, mampan, selamat dan sejahtera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top