Samun kabel ECRL, TM di Temerloh: Geng Ravi, Kepala, Dany, Mista tumpas, 17 ditahan

Samun kabel ECRL, TM di Temerloh: Geng Ravi, Kepala, Dany, Mista tumpas, 17 ditahan

am@hmetro.com.my

Temerloh: Empat kumpulan yang dipercayai aktif menyamun dan mencuri kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Telekom Malaysia (TM) di daerah ini akhirnya tumpas susulan penahanan 17 lelaki dalam beberapa serbuan sejak 12 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata kumpulan itu dikenalpasti sebagai Geng Ravi, Geng Kepala, Geng Dany dan Geng Mista.

Katanya, ahli empat kumpulan itu berjaya ditahan menerusi beberapa operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh bersama Task Force Cegah Jenayah Balai Polis Mentakab.

“Seramai 12 daripada suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang daripadanya mempunyai 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Nasyim berkata sepanjang September hingga bulan ini dua kes samun di stor simpanan kabel ECRL dan lima kes kecurian kabel TM dilaporkan di Temerloh, Mentakab serta Lanchang dengan kerugian dianggarkan RM75,000.

Katanya, susulan itu operasi pertama dilakukan bermula 12 hingga 15 Oktober lalu yang berjaya menumpaskan Geng Ravi selepas lima lelaki berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan di sekitar Mentakab.

“Polis turut merampas lori satu tan jenis Mitsubishi serta beberapa potongan besi tiang, manakala dua lagi suspek masih bebas,” katanya.

Mohd Nasyim berkata, pada 14 Oktober, pihaknya berjaya menumpaskan Geng Kepala dengan penahanan tujuh lelaki berusia antara 30 hingga 45 tahun di sekitar Kuala Krau dan Mentakab.

Katanya, polis merampas dua kenderaan pacuan empat roda, beberapa gelong kabel bertanda ECRL Property, lima batang potongan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta peralatan memproses kabel.

“Pada 18 Oktober pula, seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai anggota Geng Dany ditahan di Mentakab bersama sebuah Perodua Myvi, beberapa gelong kabel dipercayai milik TM serta peralatan memotong kabel.

“Suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, selain siasatan mendapati kumpulan itu sebelum ini turut aktif mencuri kabel TM di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Mohd Nasyim berkata, operasi diteruskan awal pagi tadi dengan penahanan empat lelaki berusia antara 22 hingga 31 tahun yang dipercayai anggota Geng Mista di Bukit Desa Semantan, dekat sini.

Katanya, polis merampas sebuah Mitsubishi Triton, beberapa gelong kabel, 27 keratan kabel dipercayai milik TM serta peralatan menarik dan memotong kabel.

“Siasatan mendapati semua suspek Geng Mista mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, selain positif methamphetamine.

“Ketua Geng Mista juga dikenal pasti sebagai anggota Geng Kepala yang ditumpaskan pada 14 Oktober lalu, manakala seorang lagi suspek masih bebas,” katanya.

Mohd Nasyim berkata, semua suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395, 379 dan 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top