am@hmetro.com.my
Kuantan: Sebanyak 60,650 kilogram makanan dan minuman dianggarkan bernilai RM724,770 berjaya diselamatkan di 139 bazar Ramadan seluruh negara menerusi Program MySaveFood@Ramadan 2024.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, berkata berbanding tahun lalu, sebanyak 25,000 kilogram makanan dan minuman bernilai RM300,000 diselamatkan di 55 bazar Ramadan.
Katanya, MySaveFood@Ramadan 2024 itu dilaksanakan sebagai inisiatif pengurusan sisa makanan di bazar Ramadan secara berstrategi dalam usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman.
“Program MySaveFood @ Ramadan 2024 adalah kesinambungan
daripada program yang dijalankan tahun lalu dengan kerjasama strategik KPDN dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (Pemuda GEMA).
“Pembabitan lebih ramai sukarelawan dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) tahun ini menunjukkan perkembangan yang positif bahawa usaha ini akan lebih berjaya pada tahun akan datang.
“Ia usaha murni barisan anak muda yang mengumpulkan makanan dan minuman yang masih berkeadaan baik, tidak terjual di bazar Ramadan tertentu dan kemudiannya mengagihkan makanan dan minuman kepada pelajar, rumah kebajikan, golongan gelandangan dan juga yang memerlukan.
“Program yang dijalankan di 139 bazar Ramadan ini membabitkan 2,112 sukarelawan termasuk GPS tahun ini berbanding 500 sukarelawan tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melalui sistem pementoran oleh Pemuda GEMA, Fuziah berkata, diharapkan pembabitan 31 cawangan GPS (21 IPTA dan 10 IPTS) dan jumlah sukarelawan tahun ini dapat dipertingkat pada tahun akan datang.
“Pembudayaan dan pemikiran menolak pembaziran dan pada masa sama menyuburkan nilai ihsan merupakan antara objektif yang mampu dicapai dalam kalangan siswazah melalui program ini.
“KPDN akan terus menyokong usaha murni ini dan berharap ia menjadi satu budaya yang dipraktikkan dalam skala yang lebih besar lagi pada tahun akan datang.
“Kejayaan program ini dilihat daripada jumlah pembaziran yang berjaya diselamatkan dan pembabitan anak muda dalam gerakan sukarelawan yang dapat membentuk nilai ihsan masyarakat madani.
“KPDN turut mengalu-alukan badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk berganding bahu dalam menjalankan program seumpamanya ke arah menerapkan nilai murni dalam masyarakat di negara ini,” katanya.
tamat
From: Asrol
© New Straits Times Press (M) Bhd




