Dublin: Ireland akan bergerak untuk mengiktiraf negara Palestin dalam beberapa minggu akan datang, kata Menteri Luar Ireland Micheal Martin pada Selasa di Dublin.
Martin berkata, beliau akan membawa cadangan rasmi mengenai pengiktirafan negara Palestin kepada kerajaan apabila “perbincangan antarabangsa yang lebih luas” selesai.
“Jangan ragu, pengiktirafan negara Palestin akan berlaku,” katanya kepada Parlimen Ireland semasa berucap.
Menangguhkan pengiktirafan “tidak boleh dipercayai atau boleh dipertahankan lagi,” katanya.
Martin kemudian memberitahu laman berita tempatan, Jurnal, bahawa cadangan rasmi itu akan berlaku “dalam beberapa minggu akan datang.”
Beliau berkata, sejak enam bulan lalu, beliau berbincang mengenai pengiktirafan dengan negara lain yang terbabit dalam inisiatif keamanan.
Bulan lalu, pemimpin Sepanyol, Ireland, Slovakia dan Malta dalam satu kenyataan berkata, mereka bersedia untuk mengiktiraf negara Palestin.
Ireland sudah lama berkata, ia tidak mempunyai bantahan pada dasarnya untuk mengiktiraf negara Palestin secara rasmi, jika ia dapat membantu proses damai di Timur Tengah.
Tetapi perang di Gaza memberikan isu ini dorongan baharu.
Perang itu meletus dengan serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel, yang mengakibatkan kematian 1,170 orang, kebanyakannya orang awam, menurut angka daripada pihak Israel.
Serangan balas Israel membunuh sekurang-kurangnya 33,360 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




