Pau, Perancis: Mahkamah di Perancis pada 24 April menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap seorang bekas pelajar sekolah menengah kerana menikam mati guru bahasa Sepanyolnya pada 2023.
Tertuduh yang kini berusia 19 tahun didakwa membunuh Agnes Lassalle, 53, di sebuah sekolah di bandar pesisir pantai barat daya, Saint-Jean-de-Luz.
Selepas tiga jam perbincangan, hakim di mahkamah jenayah juvana menjatuhkan hukuman yang sedikit lebih rendah daripada 16 tahun yang diminta oleh pendakwa raya dan jauh di bawah hukuman maksimum 20 tahun yang boleh dikenakan terhadap tertuduh.
Lassalle ditikam di dada semasa sesi pembelajaran pada Februari 2023. Mahkamah dimaklumkan bahawa pelajar itu yang ketika kejadian berusia 16 tahun, mengunci pintu bilik darjah sebelum menyerang mangsa dengan pisau dapur yang diambil dari rumah bapanya.
Perbicaraan yang dijalankan secara tertutup memberi tumpuan kepada keadaan mental tertuduh dengan pakar psikiatri memberikan penilaian yang berbeza-beza.
Mahkamah memutuskan bahawa pertimbangan tertuduh terganggu ketika kejadian berlaku yang sepatutnya boleh mengurangkan hukuman kepada 13 tahun.
Namun, mahkamah berpendapat hukuman lebih berat wajar dikenakan memandangkan “keseriusan yang tidak dapat dinafikan” dalam kes jenayah itu.
Kematian Lassalle mencetuskan kemarahan meluas di Perancis terutamanya selepas tular rakaman yang menunjukkan pasangan menari sendirian di sisi keranda semasa upacara pengebumian mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




