Guna alasan 'mengandung', 'menyusu bayi' untuk elak penjara

Guna alasan 'mengandung', 'menyusu bayi' untuk elak penjara

Beijing: Dua wanita di China, didapati mengambil kesempatan atas kelonggaran undang-undang China yang tidak memenjarakan ibu mengandung atau sedang menyusu bayi, untuk berulang kali melakukan jenayah curi.

Xiao Qing, 30, dan rakannya, Zhu Zhu, 39, bertemu selepas terbabit dalam perniagaan pakaian.

Portal South China Morning Post melaporkan, ketika pandemik Covid-19, kedai mereka terpaksa ditutup menyebabkan kedua-duanya tidak mempunyai sumber pendapatan.

Zhu Zhu yang sudah berkahwin dan bercerai dua kali, mempunyai tujuh anak, manakala Xiao Qing mempunyai empat anak.

Tertekan dengan beban kewangan untuk membesarkan anak, mereka memutuskan untuk mencuri, menurut polis Shanghai.

Mereka menyedari bahawa di bawah undang-undang China, ibu mengandung dan menyusu boleh mengelak daripada dipenjarakan.

Oleh itu, mereka berulang kali mencuri dari kedai pakaian mewah di timur China.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kedua-dua pencuri itu menggunakan kereta sorong bayi kosong sebagai penutup, sebelum memasukkan pakaian ke dalamnya, semasa berada di kedai dan kemudian berjalan keluar dengan pantas.

Zhu Zhu berkata, mereka menggunakan magnet untuk menutup tag keselamatan pada pakaian, kemudian menjual barangan itu untuk mendapatkan wang tunai.

Sepanjang dua tahun lalu, mereka mencuri pakaian bernilai kira-kira 2,800 yuan (RM1,838).

Bagaimanapun, pasangan itu akhirnya ditahan pihak berkuasa, pada Mac lalu.

Xiao Qing dan Zhu Zhu masing-masing dijatuhi hukuman penjara setahun lapan bulan kerana mencuri.

Kedua-duanya masih dalam tempoh penyusuan selepas masing-masing melahirkan anak pada Ogos dan September, tahun lalu. Jadi, mengikut undang-undang China, mereka tidak boleh dipenjarakan.

Bagaimanapun, disebabkan kesalahan itu berulang, mereka perlu menjalani hukuman di luar penjara termasuk pemulihan dalam komuniti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top