NAYPYIDAW: Pasukan keselamatan Myanmar menembak mati lebih 100 penunjuk perasaan semalam, sekali gus menjadikannya hari paling berdarah sejak rampasan kuasa oleh tentera sejak awal Februari lalu.
Tindakan ganas yang mengundang tragedi berdarah itu berlaku pada sambutan Hari Angkatan Tentera, menurut laporan media dan saksi.
Pemimpin junta, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, berkata perarakan berlangsung di Naypyidaw menandakan detik bahawa tentera akan terus melindungi rakyat dan memperjuangkan demokrasi.
Stesen televisyen tempatan semalam melaporkan, penunjuk perasaan terdedah dengan risiko ditembak di bahagian ‘kepala dan belakang badan’. Meskipun situasi bahaya, penunjuk perasaan anti rampasan kuasa tetap keluar ke jalanan di Yangon, Mandalay dan bandar-bandar lain.
Menurut portal berita Myanmar Now, seramai 114 orang seluruh negara dibunuh oleh pasukan keselamatan.
Angka itu diterbitkan oleh penyelidik bebas di Yangon yang mengumpulkan kes kematian menjadikan jumlah adalah 107 orang di lebih 24 bandar dan pekan, lapor agensi berita CNA.
Kedua-dua angka itu tertinggi jika dibandingkan dengan anggaran sebelumnya iaitu pada 14 Mac lalu, dalam lingkungan antara 74 hingga 90 orang.
Angka yang dikumpulkan sendiri oleh penyelidik yang enggan nama tidak disiarkan atas faktor keselamatan, bersamaan dengan kiraan disiarkan setiap setiap hari oleh Persatuan Bantuan Tawanan Politik yang mendokumenkan kes kematian dan tangkapan serta datanya diklasifikasikan sebagai sumber sahih.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun seperti dilaporkan media, antara dalam kalangan 29 orang yang terbunuh di Mandalay.
Sekitar 24 orang pula terbunuh di Yangon, menurut laporan Myanmar Now.
“Hari ini adalah hari yang memalukan buat angkatan bersenjata,” kata jurucakap untuk Jawatankuasa Mewakili Pyidaungsu Hluttaw (CRPH), sebuah kumpulan anti junta yang ditubuhkan oleh penggubal undang-undang dalam sebuah forum dalam talian.
Keganasan meletus di seluruh wilayah Mandalay selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan, sehingga membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang di empat bandar berbeza.
Antara mangsa terbabit adalah seorang doktor di Wundwin dan seorang gadis berusia 14 tahun di Meiktila, menurut anggota penyelamat di lapangan.
“Empat lelaki dibawa kepada kami telah mati,” kata seorang petugas kecemasan dari Mandalay iaitu bandar kedua terbesar di Myanmar. Wanita itu dalam keadaan panik ketika berusaha merawat puluhan mangsa yang cedera.
Seorang penunjuk perasaan di Myingyan pula mendakwa melihat seorang lelaki terbunuh kerana ditembak di bahangian leher. Jumlah kematian mungkin akan meningkat ketika pasukan keselamatan terus bertindak melepaskan tembakan di seluruh bandar.
“Hari ini seperti hari revolusi bagi kita,” katanya.
Insiden tembak menembak oleh pasukan keselamatan turut berlaku di sebelah timur laut negeri Shan, namun kali ini serangan dilakukan ke atas pelajar universiti dan membunuh sekurang-kurangnya tiga orang.
Di bandar pelancongan Bagan, perarakan melalui binaan pagoda kuno bertukar huru-hara selepas seorang penunjuk perasaan yang bekerja sebagai pemandu pelancong mati ditembak. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




