saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Berselindung di sebalik perjanjian yang disediakan ‘peguam’, ceti haram kini dikesan memperdaya mangsa untuk menandatangani dokumen sebagai urusan ‘rasmi’.
Ia dijadikan modal terbaharu sindiket yang hanya menggunakan dokumen fotostat untuk meyakinkan peminjam bahawa urus niaga berkenaan adalah sah di sisi undang-undang.
Aktivis banteras ceti haram, Azman Kang Abdullah berkata, pihaknya menerima beberapa aduan mengenai kewujudan dokumen yang disediakan ‘peguam’ bagi urusan pinjaman wang.
Katanya, segala-galanya nampak seperti normal, namun tembelang mula pecah selepas along berkenaan mengugut mangsa yang gagal membayar mengikut masa dijanjikan.
Katanya, jika urusan pinjaman berkenaan sah di sisi undang-undang, tidak timbul unsur ugutan oleh pemberi pinjam wang.
“Sudah tentu mereka ini adalah along atau pihak yang memberi pinjam secara tidak berlesen.
“Perjanjian yang dikatakan disediakan peguam itu pula akan menjadi dokumen yang tidak sah kerana berlakunya kegiatan mengugut, mengancam mangsa yang lazimnya dibuat along, ” katanya.
Dalam kes terbaru katanya, seorang ahli perniagaan berdepan ugutan along selepas meminjam keseluruhan lebih RM4 juta.
Azman berkata, pengadu berkenaan perlu menandatangani dokumen yang disediakan peguam dan menganggap ia adalah urus niaga sah.
“Namun timbul persoalan apabila dia menerima ugutan dan perlu membayar sehingga RM6 juta. Jika ia urus niaga sah, kenapa perlu ada ugutan. Ini menimbulkan keraguan mengenai status pemberi pinjam terbabit,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berwajib menyiasat perkara itu kerana bimbang ia dijadikan taktik untuk memperdaya mangsa menerusi perjanjian berkaitan.
Katanya, sebelum ini pihaknya mengesan ada individu bertindak sebagai pembantu sindiket mengutip hutang dengan cara ugutan atau menggunakan dokumen undang-undang palsu.
“Mereka turut menyediakan perjanjian pinjaman haram atau menyamar sebagai perjanjian jual beli hartanah.
“Isu seperti ini boleh menjejaskan kredibiliti pengamal undang-undang kerana mangsa menganggap mereka berurusan secara sah, tetapi ditipu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




