firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sentiasa terbuka dalam menambah baik saingan Piala MFL khususnya berhubung isu minit permainan membabitkan pemain bawah 23 tahun (B-23).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam, isu minit permainan yang dibangkitkan segelintir pihak sebenarnya tidak pernah ditimbulkan pasukan bertanding dalam mesyuarat mahupun bengkel yang dilaksanakan.
“Piala MFL menjadi satu landasan kepada minit untuk pemain B-23 ini, tapi saya bukan orang teknikal (untuk mengulas lanjut).
“Tapi kalau kelab memerlukan kami untuk melihat semula format dan peraturan, kami sedia mempertimbangkan. Tapi pada masa ini, di peringkat kelab tidak ada isu termasuk soal kompetitif.
“Selalunya perbincangan dengan kelab lebih kepada format dan macam mana kita boleh perbaiki format. Macam tahun lepas, kita ada dua kumpulan tapi permintaan pasukan mahukan liga lebih panjang.
“Sebab itu kami gabungkan dua kumpulan kepada liga lebih panjang. Jadi saya rasa daripada pengkritik dan pemerhati bola sepak, mereka ada pandangan sendiri.
“Tapi saya pula perlu berhadapan dengan kelab dan perlu memperhalusi perkara ini dengan kelab bukan hanya (mendengar) peringkat sosial media,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian bersama penaja baharu, Hong Leong MSIG Takaful, di sini, hari ini.
Terdahulu, kegagalan skuad B-23 negara di saingan Piala Asia di Doha, Qatar menyaksikan peminat menuding jari kepada format pertandingan Piala MFL yang kurang kompetitif.
Saingan Piala MFL yang membabitkan pemain di bawah umur 23 tahun itu dikatakan tidak mampu melonjakkan prestasi pemain muda, malah jurang antara pemain muda di Piala MFL dan pemain yang beraksi di Liga Super didakwa cukup jauh serta tidak berkualiti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




