mohd_iskandar@bh.com.my
KUALA LUMPUR: UMNO menawarkan agenda ekonomi bersepadu berteraskan Ekonomi Patriotisme, untuk memberi keadilan ekonomi kepada seluruh rakyat, selain membina negara stabil.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata model ekonomi baharu itu antara manifesto dirangka parti berkenaan yang akan menjadi kerangka, bagi memperkasa pembangunan negara pasca pandemik COVID-19.
“Agenda ekonomi bersepadu Barisan Nasional (BN) yang tergendala apabila kerajaan bertukar tangan pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) hendaklah dikembalikan.
“Bagi menjadi kerajaan semula, kita perlu kemukakan tawaran baharu yang boleh mengembalikan hak rakyat yang hilang. Jadi, UMNO perlu tampil dengan satu model ekonomi baharu berteraskan Ekonomi Patriotisme.
“Inilah antaranya manifesto (UMNO tawarkan). Manifesto ini sudah siap rangkanya dan akan dibentangkan kepada rakan BN dan Dewan Tertinggi BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia kini semakin ketinggalan dengan ekonomi negara berada dalam keadaan tenat.
“Berbanding sebelum PRU-14, Malaysia negara yang mencatat kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi serta penerima pelaburan asing terbesar di rantau Asia.
“Sekarang negara kita semakin ketinggalan. Negara jiran pula menerima limpahan pelaburan, walaupun mereka turut dilanda pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Bank Dunia, Malaysia berada di belakang negara ASEAN lain dari segi pelaburan dan pembangunan.
“Menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia menurun sebanyak 56 peratus pada tahun lalu.
“Laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) pula menyatakan kadar penurunan pelaburan asing ke Malaysia sebanyak 68 peratus,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




