sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad badminton lelaki negara dijangka mampu memulakan langkah kanan menentang England dalam aksi pembukaan Kumpulan B saingan Piala Thomas esok apabila lawan mereka dilihat menghantar pasukan muda.
Melihat kepada senarai pemain England untuk Piala Thomas kali ini, beregu utama mereka, Ben Lane-Sean Vendy yang berada di ranking ke-12 dunia tidak dibawa dan memberi peluang kepada pasangan lain.
Ranking pemain England paling tinggi bagi perseorangan lelaki ialah Harry Huang di kedudukan ke-62 dunia manakala bagi beregu lelaki pula ialah Alex Green-Zach Russ di ranking ke-64 dunia.
Berdasarkan ranking semasa, Malaysia sepatutnya tidak berdepan masalah untuk memenangi perlawanan ini dan perlu mengambil peluang sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan positif agar momentum itu dapat diteruskan dalam aksi kedua dan seterusnya.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen, barisan pemain berada pada tahap terbaik dan semangat berpasukan semakin meningkat selepas menjalani latihan di Herning, Denmark.
“Latihan kali ini semua berjalan seperti dirancang tanpa sebarang masalah. Semua orang dalam pasukan sudah bersedia untuk memulakan kempen Piala Thomas menentang England.
“Saya bukanlah orang yang suka bercakap mengenai keputusan sebelum perlawanan berlangsung, tetapi apa yang pasti, kami akan fokus dan menampilkan aksi terbaik untuk menang,” katanya.
Untuk rekod, ranking pemain Malaysia bagi perseorangan lelaki ialah Leong Jun Hao (25), Justin Hoh (44), Aidil Sholeh (52) serta Lee Zii Jia (82).
Bagi beregu lelaki pula, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada di ranking kedua dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (6) dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (7).
© New Straits Times Press (M) Bhd




