GAZA – Tentera Israel mendakwa telah mengambil “kawalan operasi” ke atas kawasan timur kem pelarian Bureij dan bandar Deir al-Balah di tengah Gaza, ketika berpuluh-puluh rakyat Palestin dilaporkan terbunuh.
Ia berkata, pihaknya disokong oleh serangan udara yang telah memulakan operasi terhadap Hamas dan infrastruktur kumpulan itu di atas dan di bawah tanah.
Penduduk melaporkan pengeboman sengit dan badan amal Medecins Sans Frontieres berkata, sekurang-kurangnya 70 orang maut – majoriti wanita dan kanak-kanak.
Serangan itu berlaku ketika pengantara Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar bertemu di Doha dan Kaherah untuk membincangkan cara memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan baharu.
Pada hari Selasa, AS berkata, ia masih menunggu jawapan daripada Hamas terhadap apa yang disifatkannya sebagai cadangan Israel yang digariskan oleh Presiden AS Joe Biden minggu lalu.
Qatar berkata, ia telah menyampaikan rancangan itu kepada wakil Hamas dan menyatakan bahawa ia juga masih menunggu kedudukan jelas daripada Israel.
Pemimpin politik Hamas Ismail Haniyeh berkata pada hari Rabu. kumpulan itu akan menangani cadangan tersebut dengan “serius dan positif”.
Perdana Menteri Israel pula menegaskan, beliau tidak akan bersetuju dengan gencatan senjata kekal sebelum Hamas dikalahkan dan tebusan yang ditahan kumpulan tersebut dibebaskan.
Dan pada hari Rabu, Menteri Pertahanan Yoav Gallant mengisytiharkan “semua rundingan dengan Hamas akan dijalankan di bawah serangan”.
Israel melancarkan kempen ketenteraan di Gaza untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas terhadap serangan rentas sempadan kumpulan itu ke atas Israel selatan pada 7 Oktober 2023, mengakibatkan kira-kira 1,200 orang terbunuh dan 251 yang lain telah dijadikan tebusan.
Sekurang-kurangnya 36,580 orang telah terbunuh di Gaza sejak itu, menurut kementerian kesihatan Hamas di wilayah itu.
Bureij adalah salah satu daripada lapan kem pelarian bersejarah terkecil di Gaza, meliputi kawasan seluas 0.5 kilometer persegi (0.2 batu persegi) dan mempunyai 46,000 penduduk berdaftar dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (Unrwa) sebelum perang.
Kem itu terletak di selatan dasar sungai Wadi Gaza dan “Koridor Jalur Gaza Tengah” tentera Israel- bahagian tanah yang dikawal oleh askar rejim Zionis dari timur ke barat dari sempadan dengan Israel ke Laut Mediterranean, membahagikan Gaza kepada dua.
Kem pelarian Nuseirat dan Maghazi juga terletak berhampiran Bureij, manakala bandar Deir al-Balah terletak kira-kira 5km (3 batu) ke barat daya.
Keempat-empat kawasan itu kini sesak dengan penduduk yang dipindahkan akibat pertempuran di tempat lain, termasuk kebanyakan lebih sejuta yang melarikan diri dari bandar selatan Rafah sejak permulaan operasi darat Israel di sana sebulan lalu.
IDF berkata, operasi “sasaran” baharu di Bureij dan timur Deir al-Balah bertujuan untuk merungkai “infrastruktur pengganas yang terletak beberapa kilometer dari sempadan dengan Israel di atas dan di bawah tanah”.
“Aktiviti itu bermula dengan beberapa siri serangan udara ke atas sasaran pengganas, termasuk kompaun tentera, kemudahan penyimpanan senjata dan infrastruktur bawah tanah,” tambah kenyataannya.
“Semasa serangan itu, beberapa pengganas Hamas telah dihapuskan,” katanya.
Kemudian, IDF mengeluarkan kenyataan baru yang mengumumkan bahawa tentera telah “mendapat kawalan operasi” di timur Bureij dan timur Deir al-Balah dan menambah mereka telah “menghapuskan pengganas” di kawasan itu, memusnahkan pelancar roket dan mortar, dan menempatkan beberapa aci terowong. – Agensi




