am@hmetro.com.my
Bachok: Selepas dua kali gagal menamatkan kelas motosikal, seorang Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, teruja apabila bakal mendapat lesen motosikal B2 menerusi program MyLesen hari ini.
Ismail Saadi, 36, antara salah seorang penerima bertuah daripada senarai 12,340 pemohon yang berjaya mendapat bantuan lesen motosikal percuma menerusi program MyLesen kepada golongan B40 di Kelantan.
Dia yang bekerja sebagai mekanik berkata sebelum ini dia pernah memohon membuat lesen motosikal pada tahun 2016.
“Ketika ujian penglihatan, saya gagal ujian warna lampu isyarat jadi saya pergi ke hospital dan doktor sahkan saya menghidap penyakit Glaukoma berkaitan saraf mata.
“Kali kedua pula, saya terpaksa berhenti ambil lesen sebab tak mampu nak teruskan bayaran kelas sehinggalah saya mohon MyLesen tahun lalu dan lulus permohonan, jadi saya benar-benar harap kali ketiga ini saya dapat lesen motosikal,” katanya ketika ditemui dalam program lesen percuma MyLesen B40 di Institut Memandu Kist (AMKIST), Telong, di sini.
Ismail antara 150 peserta Mylesen yang akan memulakan kelas Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) di AMKIST yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan peruntukan RM350 setiap seorang.
Dia yang tinggal di Kampung Pengkalan Cina berkata, dia sudah lama mengidamkan lesen motosikal memandangkan sebelum ini terpaksa menaiki motosikal dalam keadaan takut-takut untuk mendapatkan bekalan barangan motosikal daripada pembekal di Kota Bharu selain untuk tugas harian.
“Saya juga jaga ibu dan ibu saudara, jadi keperluan ada lesen motosikal sangat bermakna buat saya, tambahan pula dengan ujian lisan, membantu saya untuk ganti ujian komputer kerana kecacatan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




