mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon menegaskan beliau mahu terus kekal mengendali pasukan kebangsaan walaupun peluang Malaysia untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia boleh dikatakan sudah tertutup.
Pan-gon berkata, misinya bersama skuad Harimau Malaya masih lagi belum selesai terutamanya mahu membawa pasukan kebangsaan mencipta kejayaan pada perlawanan akan datang.
Malah, beliau juga tidak pernah terlintas untuk meninggalkan skuad Harimau Malaya selagi khidmatnya masih diperlukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan penyokong bola sepak tanah air.
“Saya harus kekal di sini dan saya tidak pernah meminta untuk meninggalkan pasukan. Kita sentiasa berjuang tetapi ini (meninggalkan pasukan kebangsaan) bukanlah keputusan yang boleh saya buat.
“Pada masa sama, saya mahu pergi ke Piala Asia yang seterusnya,” katanya, dalam sidang media selepas perlawanan membabitkan Malaysia menentang Taiwan, sebentar tadi.
Terdahulu, Harimau Malaya menghidupkan sisa-sisa perjuangan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 apabila bangkit menewaskan Taiwan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Bagaimanapun, skuad negara yang kini berkongsi 10 mata bersama pasukan tangga kedua Kumpulan D, Kyrgyzstan memiliki peluang amat tipis untuk melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027.
Skuad Harimau Malaya hanya boleh mengharapkan keajaiban besar berlaku di Muscat supaya Oman membelasah Kyrgyzstan sekurang-kurangnya tujuh gol untuk Harimau Malaya melepasi Kumpulan D.
Mengulas lanjut aksi terbabit, Pan-gon melihat peluang negara mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 sememangnya tipis dan kegagalan mendapatkan kemenangan besar ke atas Taiwan sememangnya memeritkan.
“Kita sasarkan untuk mendapat sekurang-kurangnya tujuh gol tetapi kita tidak berjaya dan ini satu situasi yang menyakitkan. Strategi kita tidak begitu menjadi dan ada beberapa kesilapan pada babak pertama sehingga kita membenarkan Taiwan menjaringkan gol terlebuh dahulu.
“Kita bangkit pada babak kedua tetapi kita perlu belajar daripada perlawanan ini dan menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



