puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan tunangnya iaitu pelakon dan penyanyi, Bella Astillah sebagai seorang wanita serta ibu yang luar biasa.
Menurut Syed Saddiq, 34, sempena Hari Ibu pada hari ini, kehebatan Bella dalam mendidik cahaya matanya iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna jelas terpancar menerusi keperibadian anak-anaknya itu.
“Bella seorang wanita yang luar biasa dan seorang ibu yang jauh lebih luar biasa. Contoh terbaik ada pada Ayden dan Ara. Betapa sopannya mereka, itu memang datang daripada ibunya,” katanya pada majlis penyampaian Sijil Halal Auntea Jenny di Sunway Velocity Mall, di sini, hari ini.
Sementara itu, Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, meluahkan rasa syukur dan teruja memandangkan hubungan akrab yang terjalin bersama ibunya menjadi tunjang kekuatan utama selama ini.
“Bella sangat gembira sebab memang rapat dengan Mama. Jadi bila tibanya Hari Ibu, Bella rasa teruja. Bagi Bella, bukan sahaja hari ini, tetapi setiap hari adalah waktu untuk kita menghargai kehadiran mama.
“Mama menjadi sumber kekuatan yang sangat kuat buat Bella. Mama sentiasa ada ketika susah, senang, sedih dan ketawa. Ke mana sahaja Bella pergi, penat macam mana pun, mama akan sentiasa cuba menemani (Bella),” katanya.
Ditanya mengenai dirinya yang kini menjadi inspirasi kepada golongan ibu, Bella dengan rendah diri mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam mematangkan diri.
“Bella tidak sempurna. Alhamdulillah kalau ada yang mengidolakan, tetapi sebenarnya banyak lagi yang perlu Bella perbaiki.
“Bella masih belajar. Sekarang pun Bella tengok apa yang Mama buat dan ambil contoh-contoh yang positif untuk diterapkan bagi menjadi ibu yang baik untuk Ayden dan Ara.
“Sebagai ibu, kita kena tunjuk contoh yang baik supaya bila anak-anak membesar, mereka akan ikut kelakuan, sikap dan adab yang baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




