Baru-baru ini kita dikejutkan dengan penahanan pegawai sebuah jabatan agama Islam negeri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes menerima suapan lebih RM1 juta bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan di negeri terbabit.
Dalam era moden ini, kita sering melihat pelbagai cara individu menggunakan gelaran agama untuk tujuan keuntungan duniawi. Fenomena ini sangat membimbangkan kerana ia bukan sahaja merendahkan martabat agama, tetapi juga memperdayakan umat Islam. Persoalan timbul, mengapakah penggunaan gelaran agama untuk keuntungan dunia adalah tidak wajar dan menyalahi ajaran Islam?
Gelaran Agama yang disalahgunakan
Gelaran agama seperti ‘ustaz’, ‘ustazah’ dan seumpamanya seharusnya mencerminkan seseorang yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam agama dan memimpin umat ke jalan yang benar. Namun, ada segelintir individu yang mengambil kesempatan dengan menggunakan gelaran ini untuk menarik perhatian dan meraih keuntungan material. Contohnya, ada yang menggunakan gelaran terbabit untuk mempromosikan sesuatu aktiviti yang ganjil yang kadangkala tidak berkaitan langsung dengan agama.
Dalam Islam, menyalahgunakan agama untuk tujuan duniawi adalah dilarang keras. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 41: “Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit dan hanya kepada-Ku lah kamu harus bertakwa.” Ayat ini jelas mengingatkan kita supaya tidak menukar atau memperdagangkan ayat Allah atau perkara yang berkaitan dengan agama untuk keuntungan dunia yang sedikit. Ini bermaksud, menggunakan agama sebagai alat untuk meraih keuntungan material adalah satu bentuk penghinaan terhadap kesucian agama itu sendiri.
Rasulullah SAW juga banyak menekankan mengenai bahaya penyalahgunaan agama. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mempelajari ilmu yang sepatutnya untuk mencari reda Allah, tetapi dia mempelajarinya hanya untuk mendapatkan dunia, maka dia tidak akan mencium wangi syurga pada hari kiamat.” (Riwayat Abud Daud) Hadis ini mengingatkan kita bahawa niat dalam mempelajari dan mengamalkan ilmu agama mesti ikhlas untuk mencari keredaan Allah dan bukan untuk meraih manfaat dunia.
Selain itu, dalam al-Quran, Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 42: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.” Ayat ini pula menegaskan larangan menyembunyikan kebenaran dan mencampuradukkan yang hak dengan yang batil. Menggunakan gelaran agama untuk menutupi perbuatan jenayah adalah satu bentuk percampuran yang hak dengan yang batil dan ia dilarang keras dalam Islam.
Rasulullah SAW juga bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Barang siapa yang menipu kami, maka dia bukan dari golongan kami.” (Riwayat Muslim). Hadis ini dengan tegas menyatakan bahawa penipuan adalah perbuatan yang sangat tercela dalam Islam dan ini termasuk menggunakan gelaran agama untuk menipu atau mengaburi perbuatan jenayah.
Rasuah dalam pandangan Islam
Rasuah adalah salah satu bentuk jenayah yang paling merosakkan dalam masyarakat. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 188: “Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” Ayat ini secara jelas melarang perbuatan rasuah dan penyelewengan harta. Menggunakan gelaran agama untuk menutupi perbuatan rasuah adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah Allah dan masyarakat.
Penyelewengan dan salah guna kuasa
Penyelewengan dan salah guna kuasa adalah bentuk jenayah yang merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi dan pemimpin terutama dalam institusi agama. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dharr RA: “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau seorang yang lemah, sedangkan (jawatan itu) adalah amanah, dan ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat kecuali orang yang mengambilnya dengan haknya dan menunaikan kewajipan dalam amanah itu.” (Riwayat Muslim). Hadis ini mengingatkan kita mengenai beratnya tanggungjawab memegang amanah dan kepimpinan. Sebagai contoh salah guna kuasa dan penyelewengan dalam institusi agama yang berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini adalah pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh Allah dan masyarakat.
Justeru, penggunaan gelaran agama untuk keuntungan dunia mempunyai kesan negatif yang besar terhadap umat Islam. Pertama, ia menyebabkan kehilangan kepercayaan masyarakat terhadap individu yang benar-benar berilmu dan ikhlas dalam menyampaikan ajaran agama. Kedua, ia mencetuskan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat apabila orang ramai terpedaya dengan individu yang menyalahgunakan agama untuk kepentingan peribadi. Ketiga, ia merosakkan imej Islam itu sendiri di mata masyarakat bukan Islam kerana mereka mungkin melihat Islam sebagai alat untuk mencapai tujuan material dan duniawi semata-mata.
Mengembalikan kesucian gelaran agama
Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar. Pertama, kita perlu menekankan kepentingan niat yang ikhlas dalam segala perbuatan kita, terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama. Dalam sebuah hadis yang sangat terkenal, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya segala amalan itu bergantung kepada niat dan setiap orang akan mendapat sesuai dengan apa yang diniatkannya.” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini mengingatkan kita bahawa setiap amalan, termasuk penggunaan gelaran agama, mesti dilakukan dengan niat yang ikhlas untuk Allah SWT dan bukan untuk mendapatkan keuntungan dunia.
Pendidikan dan pengawasan
Selain itu, pendidikan agama yang betul dan menyeluruh perlu diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Dengan pengetahuan yang mendalam, umat Islam dapat membezakan antara individu yang ikhlas dan mereka yang menyalahgunakan agama. Pihak berkuasa agama juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu dalam institusi mereka yang didapati menyalahgunakan gelaran agama untuk tujuan duniawi.
Kesimpulannya, menggunakan gelaran agama untuk meraih keuntungan dunia adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam. Dalil daripada al-Quran dan hadis dengan jelas melarang perbuatan ini dan menekankan pentingnya niat yang ikhlas dalam segala perbuatan. Sebagai umat Islam, kita perlu memelihara kesucian gelaran agama dan memastikan ia digunakan dengan cara yang benar dan mulia. Pendidikan yang betul dan pengawasan yang ketat juga perlu dilakukan untuk mencegah penyalahgunaan gelaran agama. Dengan ini, kita dapat menjaga maruah agama Islam dan memastikan ia terus dihormati dan dimuliakan.
Penulis Profesor Madya Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
© New Straits Times Press (M) Bhd




