Berlin: Juara bertahan, Itali sudah tersingkir daripada saingan Euro 2024 dan untuk mengatakan Itali tersingkir dengan cukup memalukan, ia adalah perkataan paling tepat.
Tewas 0-2 di tangan Switzerland di Olympiastadion Berlin, skuad bimbingna Luciano Spalletti gagal untuk memberikan saingan sepertimana ketika mereka bangkit meraih keputusan seri ketika bertemu Croatia pada saingan peringat kumpulan.
“Sepanjang hidup saya, tiada pasukan Itali lebih teruk berbanding kali ini,” kata bekas penyerang England, Gary Lineker di BBC One.
Pada tahun 2006, Itali memenangi Piala Dunia kali keempat di halaman sendiri dengan menewaskan Perancis menerusi sepakan penalti.
Tiga tahun lalu, Azzurri berkunjung ke Wembley dan memusnahkan impian England pada final Euro untuk merangkul kejuaraan Eropah buat kali ketiga.
Terdapat ramai pemain berbakat dalam skuad sedia ada namun melihat kepada prestasi mereka ketika menentang Switzerland, tiada yang mempunyai karakter sehebat Andrea Pirlo, Marco Materazzi atau Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini.
“Saya benar-benar terkejut melihat betapa teruknya Itali. Mereka tidak mampu menyaingi lawan, malah Switzerland mempermainkan mereka.
“Switzerland mendominasi permainan dan tidak memberi peluang kepada Itali. Di bahagian atas mereka begitu lemah, mereka tumpul di hadapan gol. Tidak mampu mengancam,” kata bekas kapten England, Alan Shearer.
© New Straits Times Press (M) Bhd




