Orang China suka makan durian-Mohamad Sabu

Orang China suka makan durian-Mohamad Sabu

khairil.ashraf@hmetro.om.my

Kuala Lumpur: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan, penumpuan eksport durian ke China disebabkan rakyat negara itu gemar memakan durian.

Mohamad berkata, ia berbeza dengan negara lain seperti Timur Tengah dan Eropah yang tidak gemarkan durian.

“Kenapa (tumpuan kepada) China? Sebab China makan durian. Negara-negara Arab belum lagi makan durian. Bahkan mereka bau pun tak berapa boleh.

“Begitu juga Eropah. Memang ada orang-orang Eropah yang ada kedutaan di sini, makan durian. Tapi secara umumnya, mereka belum mahu makan durian.

“China makan durian secara besar-besaran. Mereka ada ratusan juta rakyat yang mampu untuk berbelanja. Sebab itu kalau nak dihantar ke negara lain, ada pasaran tetapi tidak seperti China,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengapa Malaysia tidak meneroka pasaran luar selain dari China.

Tuan Ibrahim berkata, selain Malaysia, Thailand dan Vietnam juga menumpukan negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, Malaysia akan terus berusaha untuk memasarkan barangan yang ada di seluruh dunia.

“Soal ikan, banyak tempat lagi untuk kita hantar dan mereka memerlukan ikan. Nanas masih banyak yang mereka memohon dan kita tidak dapat menyediakan secukupnya permintaan di peringkat antarabangsa.

“Tapi bagi durian ini, memang China menjadi fokus. Bayangkan, kalau 10 peratus rakyatnya makan durian. Barangkali banyak mana kita tanam di sini pun belum lagi cukup untuk kita berdagang dengan China,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top