PEMBA: Pengganas terus menyerang bandar di Mozambique utara dan masih bertindak ganas membunuh serta memenggal kepala orang awam sejak minggu lalu.
Menurut sumber, berikutan serangan itu, ribuan penduduk Palma yang terperangkap terpaksa bersembunyi selepas diancam keganasan berterusan oleh kumpulan bersenjata.
Golongan pemberontak yang dikaitkan dengan Daesh itu melancarkan serangan di bandar pesisir pantai, Palma, Rabu lalu dengan menggeledah bangunan selain membunuh serta memenggal kepala orang awam.
Sekurang-kurangnya puluhan individu terbunuh dalam tragedi ngeri yang disifatkan saksi sebagai serangan terancang, kira-kira 10 kilometer (km) dari projek gas cecair bernilai bilion dolar dimiliki syarikat Perancis, Total.
Penduduk yang selamat melarikan diri ke bandar berhampiran di Mueda dan bandar wilayah Pemba sama ada menggunakan bot, pesawat ataupun berjalan kaki.
Mereka terpaksa berjalan selama berhari-hari meredah hutan, sama ada menuju ke barat untuk tiba di Mueda ataupun ke utara menuju di sempadan Tanzania.
Difahamkan, ribuan penduduk lagi masih terperangkap di Palma dengan mengharapkan bantuan perlindungan segera diberikan.
Sementara itu, menurut kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ada juga yang menyelamatkan diri dengan menuju ke Semenanjung Afungi, iaitu tapak projek cari gali gas, di mana mereka berkumpul di luar kompleks Total.
Sekurang-kurangnya 1,400 orang termasuk pekerja gas dan kerajaan dibawa ke Pemba pada Ahad lalu bagi membantu penduduk.
Hanya puluhan penduduk yang terselamat berjaya tiba di ibu kota dengan bot kecil, sekali gus yang menimbulkan kebimbangan akan berlaku tragedi kemanusiaan lebih besar.
“Ia hanyalah jumlah kecil berbanding ribuan yang dilaporkan terperangkap di Palma… kita risau kerana hanya sebilangan kecil saja yang berjaya tiba,” kata seorang pekerja amal yang tidak mahu dikenali.
Beliau berkata, kira-kira 5,000 penduduk yang terselamat dilaporkan berkumpul berhampiran dengan rumah api di semenanjung itu.
Menurut Total, pihaknya sudah mengaktifkan bantuan kecemasan termasuk makanan dan air untuk mereka yang tiba di situ. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd



