FAM tak pilih kasih kes babit Insa

FAM tak pilih kasih kes babit Insa

syafiq.aznan@bh.com.my

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan pihaknya tidak akan pilih kasih dan tetap adil untuk membicarakan kes pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa atas dakwaan menolak pengadil pada aksi di Ipoh pada 21 Mac lalu.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan Jawatankuasa Tatatertib akan membuat keputusan secara rasional tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak memandangkan badan itu adalah bebas.

Justeru, beliau menepis tanggapan penyokong bola sepak tempatan yang mendakwa badan induk itu mengamalkan ‘double standard’ apabila menyatakan kes Natxo agak lambat untuk dibicarakan berbanding empat yang sudah diputuskan minggu lalu.

“Saya mahu jelaskan yang bola sepak adalah untuk semua tetapi kemungkinan ada keputusan yang seakan berpihak ke satu pihak di sana atau pihak di sini. Tetapi kes Natxo akan dibincangkan pada Khamis ini.

“Saya pun maklum bahawa pengerusi (Jawatankuasa Tatatertib) dan ahli jawatankuasanya pasti jalankan tugas secara telus dan tidak perlu risau kerana mereka adalah individu yang berwibawa.

“Kita akan lihat Jawatankuasa Tatatertib membuat keputusan yang seadilnya. Saya tidak boleh ulas lanjut kerana saya akan dianggap masuk campur tetapi saya yakin mereka jalankan tugas dengan betul,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Liga Suparimau FAM oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Insa yang juga pemain berdarah campuran sebelum ini didakwa menolak pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin ketika aksi Liga Super membabitkan JDT dan Perak FC di Stadium Perak, Ipoh.

Mengulas lanjut, Hamidin menegaskan apa sahaja ‘darjah’ hukuman yang diputuskan badan induk itu pasti akan mendatangkan ketidakpuasan hati khususnya kepada pihak yang menanggung hukuman terbabit.

“Apabila kita terlalu tegas, nanti orang katakan FAM begitu tegas tetapi saya rasa apa yang diputuskan (hukuman) itu, sudah pasti ada rasionalnya. Mereka (Jawatankuasa Tatatertib) menjalankan tugasnya mengikut kod tatatertib,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan kes membabitkan Natxo sebenarnya dibincangkan lebih pantas berbanding empat kes yang sudahpun diputuskan sebelum ini.

“Kalau kita tengok empat kes sebelum ini, kita mengambil masa dalam lingkungan 13 ke 18 hari sebelum dibincangkan dalam Jawatankuasa Tatatertib. Tetapi untuk kes Natxo, hanya 11 hari daripada insiden berlaku sebelum dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.

“Kes Natxo pun berlaku tiga hari sebelum persidangan pertama Jawatankuasa Tatatertib. Jadi kita perlu mengikut proses perundangan dan memberi ruang secukupnya kepada pemain untuk membela diri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top