Messi setuju beli kelab divisyen dua Sepanyol

Madrid: Lionel Messi dilaporkan semakin hampir memuktamadkan perjanjian untuk membeli kelab divisyen dua Sepanyol, CD Eldense, sekali gus menambah portfolio pemilikan kelab bola sepaknya.

Menurut beberapa laporan di Sepanyol, Messi sudah mencapai persetujuan secara prinsip untuk membeli semua saham yang dimiliki pemegang saham majoriti, TH Soluciones Group SAS, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam beberapa hari lagi.

Kumpulan pelaburan dari Colombia itu, yang mengambil alih Eldense pada Oktober 2025, dijangka memindahkan keseluruhan pegangan mereka kepada Messi.

Bagaimanapun, perjanjian berkenaan masih tertakluk kepada kelulusan Majlis Sukan Tinggi Sepanyol (CSD).

Reuters sudah menghubungi TH Soluciones dan Eldense untuk mendapatkan komen mengenai laporan itu.

Messi, yang baru-baru ini bersara daripada tugas antarabangsa bersama Argentina, membeli kelab divisyen kelima Sepanyol, UE Cornella, pada 16 April lalu.

Beliau juga dijangka menerima pegangan saham dalam kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami, selepas kontrak bermainnya bersama pasukan itu berakhir.

Eldense berpangkalan di Elda, sebuah bandar dengan kira-kira 55,000 penduduk di wilayah Alicante, timur Sepanyol.

Kelab itu menghabiskan sebahagian besar sejarah mereka dalam divisyen rendah bola sepak Sepanyol, namun hasil pelaburan baharu, mereka beraksi dalam divisyen kedua bagi tiga daripada empat musim terakhir.

Eldense memecat pengendali Claudio Barragan pada Ahad selepas hanya mengumpul dua mata daripada empat perlawanan pembukaan liga, menyebabkan mereka berada di kedudukan ketiga dari bawah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top