am@hmetro.com.my
Putrajaya: “Sebagai tetamu yang diundang saya tidak dimaklumkan penganjur senarai penyumbang sehinggalah ketika tiba di lokasi program,” kata Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kesal usaha membangunkan pendidikan di Parlimen itu ‘tenggelam’ selepas tular gambar pembabitan sebuah syarikat minuman keras yang hadir sebagai salah satu penyumbang.
Menurutnya, beliau mengambil maklum mengenai gambar tular di media sosial memaparkan dirinya bersama individu lain dengan sebuah replika cek sumbangan syarikat arak berjumlah RM3 juta.
Katanya, Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) itu menjemput semua penyumbang termasuk beliau yang menyumbang sejumlah dana.
“Terdapat juga penyumbang persendirian, penduduk, alumni dan syarikat arak yang hadir pada program itu untuk membeli meja bagi menambah kutipan dana sekolah,” katanya melalui kenyataan dikongsi di Facebook (FB).
Pada Ahad lalu, Aiman Athirah memenuhi undangan daripada Lembaga Pengurusan SJKC di Sepang bagi menghadiri Konsert Amal Pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah yang didirikan sejak 30 tahun lalu.
Program itu dirasmikan oleh Exco Selangor, Ng Suee Lim dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong.
Aiman Athirah berkata, beliau hadir ke program itu bagi memberi sokongan kepada pihak sekolah mengumpul dana membina dewan bagi keselesaan murid dan tidak mempunyai niat lain.
Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan pihaknya akan berusaha menghadiri mana-mana acara dianjurkan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai tanda komitmen dalam isu pendidikan anak-anak di kawasan itu.
Katanya, setakat 14 Julai lalu, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sepang di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri dan Projek Mesra Rakyat membelanjakan sebanyak RM1.2 juta untuk pendidikan anak-anak di kawasan itu yang jumlahnya hampir 50 peratus daripada peruntukan.
“Antara penerima sumbangan pada tahun ini terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lang sebanyak RM150,000, sekolah KAFA Desa Pinggiran Putra RM200,000 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana RM130,000,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
