'Ayra terlalu istimewa, hadiah Allah kepada kami'

'Ayra terlalu istimewa, hadiah Allah kepada kami'

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kangar: Keadaan Nur Ayra Afiyyah Aizuddin Aizad yang dilahirkan dengan masalah sumbing bibir dan lelangit tidak pernah dianggap sebagai kekurangan sebaliknya ia menjadikan bayi itu terlalu istimewa di mata orang tuanya.

Malah, keletahnya yang menghiburkan dan aktif itu juga menjadi penawar buat Nur Atiqah Azalan, 35, dan suami, Aizuddin Aizad Mat Joha, 39, yang tidak pernah malu dengan keadaan fizikal Nur Ayra Afiyyah yang kini berusia setahun.

Nur Atiqah berkata, masalah itu menyebabkan Nur Ayra Afiyyah atau mesra disapa Ayra tidak mempunyai anak tekak, lelangit dan gusi di bahagian depan.

Menurutnya, keadaan anak dikesan ketika melakukan ujian imbasan secara terperinci pada usia kandungan tujuh bulan dan mengakui pada mulanya dia berasa sedih dengan ujian itu, namun tidak pernah menyalahkan takdir Allah SWT.

“Saya terfikir kenapa masalah itu (sumbing) boleh berlaku kepada anak tetapi saya sedar ini semua aturan dan bukti kekuasaan Allah, jadi saya ikhlas menerimanya kerana Ayra adalah hadiah Allah kepada kami.

“Lagipun keadaan kesihatan dan organ dalaman Ayra juga baik, jadi kami perlu bersyukur dengan rezeki Allah dan yakin Allah pilih kami kerana kami bertiga boleh melalui ujian ini,” katanya menetap di Taman Permai, di sini ketika dihubungi.

Katanya, meskipun mempunyai kekurangan itu, namun Nur Ayra Afiyyah seorang anak yang aktif dan lasak biarpun bayi itu belum pandai berjalan serta perkembangan percakapannya juga tidak seperti bayi seusia.

“Ayra masih merangkak tetapi laju dan dia juga anak yang aktif. Bagi saya kekurangan Ayra cuma pada bibir saja tetapi itu bukan masalah kepada kami kerana Ayra tetap istimewa.

“Kami tak pernah berasa malu dengan keadaan Ayra, malah saya juga berkongsi kisahnya di media sosial. Tiada sebab untuk malu dan bersyukur orang sekeliling saya sangat memberi sokongan positif termasuk di TikTok,” katanya.

Menurut Nur Atiqah, anak bakal menjalani pembedahan untuk masalah berkenaan namun tarikh prosedur itu masih belum diketahui dan mereka masih menunggu keputusan penuh ujian pemeriksaan daripada doktor berkaitan.

“Ayra akan menjalani lebih tiga pembedahan bibir, lelangit dan gusi tetapi ia tidak secara serentak. Kami berharap dia dapat menjalani tidak lama lagi, saya mahu dia membesar seperti kanak-kanak lain dan ini juga untuk masa depannya.

“Sepatutnya anak sudah boleh melakukan pembedahan ketika berusia enam bulan tetapi ketika itu keadaannya agak berisiko kerana masih menggunakan tiub untuk minum susu,” katanya.

Katanya, dia ketika ini berusaha mencari rezeki dengan membuka gerai jualan makanan bukan saja bagi meringankan beban suami yang bekerja sebagai penghantar barang tetapi ia juga demi kos perubatan untuk Nur Ayra Afiyyah nanti.

“Ketika ribut, kelmarin khemah di gerai saya berselerak tetapi tetap membuka gerai yang menjual lebih 50 pelbagai makanan termasuk set nasi, kuih-muih tradisional, donut, cilok dan makanan lain termasuk oden dan pelbagai sosej.

“Ini kerana peniaga sudah menyiapkan makanan, lagipun cuaca juga sudah baik ketika itu. Berniaga ini ada pasang surut tetapi kami akan tetap berusaha untuk Ayra,” katanya membuka gerai di Jalan Hospital, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top