Orang muda penerima manfaat terbesar JETP, wujud 200,000 peluang pekerjaan baharu

Orang muda penerima manfaat terbesar JETP, wujud 200,000 peluang pekerjaan baharu

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Orang muda di negeri ini bakal menerima manfaat terbesar menerusi pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) yang dilancarkan kerajaan negeri semalam sebagai pemacu utama agenda Maju Johor 2030.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, berkata pelan berkenaan akan mewujudkan kira-kira 200,000 peluang pekerjaan baharu yang berkualiti dan berpendapatan tinggi.

Katanya, langkah itu bukan sahaja memberi akses kepada peluang kerjaya yang lebih baik, malah membantu anak muda membina masa depan yang lebih terjamin selaras dengan keperluan ekonomi moden.

“Pemuda UMNO Johor berpandangan bahawa orang muda Johor merupakan penerima manfaat terbesar daripada pelaksanaan JETP.

“Melalui sasaran mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu yang berkualiti dan berpendapatan tinggi, generasi muda Johor akan menikmati akses yang lebih luas kepada peluang kerjaya yang menawarkan prospek masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JETP turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi pelaburan dalam bidang pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), kemahiran digital serta kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan golongan muda memiliki kemahiran yang seiring dengan kehendak pasaran pekerjaan dan ekonomi masa hadapan.

Selain itu, Noor Azleen berkata, pelaksanaan JETP juga membuka peluang lebih besar kepada usahawan muda untuk menceburi pelbagai sektor strategik termasuk tenaga, kimia dan petrokimia, kesihatan dan farmaseutikal, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, logistik, pelancongan serta pertanian moden.

Menurutnya, pelan berkenaan dijangka mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif kepada perkembangan keusahawanan menerusi akses lebih baik kepada pembiayaan, infrastruktur digital dan pasaran yang lebih luas.

Beliau turut menyambut baik pendekatan pembangunan berasaskan kekuatan setiap daerah yang diketengahkan dalam JETP kerana mampu memastikan limpahan pembangunan dan kemajuan ekonomi dinikmati secara lebih seimbang di seluruh negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan muda terus memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) Johor bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara konsisten demi masa depan Johor yang lebih makmur, maju dan berdaya saing menjelang 2030.

JETP dilancarkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz akan menjadi pemacu kepada enam teras utama Maju Johor 2030 iaitu tadbir urus kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan dan keperluan asas, keselamatan serta kelestarian, selain pembangunan orang muda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top