firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perak FC antara pasukan musim ini yang perlu memenuhi tuntutan saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan wajib menyediakan empat pasukan bersaing masing-masing di Liga Super, Piala MFL, Piala Presiden dan Piala Belia.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin mengakui sistem yang diguna pakai di Liga M cukup baik dalam usaha membantu pembangunan bola sepak di negara ini dengan mewajibkan setiap kelab menyediakan tiga pasukan pembangunan.
Malah konsep itu sejajar dengan kaedah yang diamalkan di negara-negara Eropah bagi mengembangkan bakat dan potensi ubi muda sebelum diserapk beraksi bersama skuad senior di saingan utama.
Bagaimanapun Bobie secara peribadi menyifatkan ia perlu dinilai semula oleh badan pengelola liga di mana senario bola sepak di negara ini masih belum mampan untuk menguruskan empat pasukan dalam satu musim yang agak panjang.
Katanya, cabaran besar adalah berkaitan kos operasi yang meningkat naik ketika sumber pendapatan kelab amat terhad, malah boleh dikatakan langsung tidak mencapai keuntungan.
“Mungkin landskap bola sepak Malaysia tidak macam bola sepak di Eropah, Jepun dan Korea atau sebagainya. Di mana sukan ini tiket masuk masih berharga RM20.
“Sokongan bagi industri sukan, bukan sahaja bola sepak memang kurang. Maksud sokongan dari industri itu adalah kehadiran penyokong, daripada pengiklanan dan sebagainya.
“Dekat sini masalah yang kita perlu tengok apabila benda ini dilaksanakan di pihak kelab. Jadi peluang untuk menjana pendapatan untuk ketiga-tiga pasukan di bawah tangunggan kelab ini memang kita boleh kata ‘zero income’.
“Apabila kita masuk dalam Perak FC dulu, kita tahu ada ramai penyokong-penyokong Perak dan sebagainya. Namun selepas kita buat kira-kira dengan kos yang kita dah belanjakan, kalau pasukan utama dapat bawa penuhkan stadium di gelanggang sendiri pun, kita masih tak mampu untuk tanggung pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Malah lebih memburukkan keadaan apabila skuad utama The Bos Gaurus langsung tidak beraksi di laman sendiri sepanjang bulan Jun lalu, manakala hanya dua aksi di Ipoh pada Julai ini serta satu perlawanan pada bulan depan.
“Kalau ikutkan jadual macam yang saya kongsikan di Facebook, saya ada letakkan jadual keempat-empat pasukan di mana ada tujuh perlawanan berlangsung di tempat lawan bulan ini. Kalau kita tengok dengan tujuh aksi di luar itu, nampaknya punca pendapatan kita hanya pada jersi sajalah (untuk bulan Julai sahaja).
“Jadi dekat jualan jersi dan barangan kita pun sebenarnya ada masalah satu hal lagi (barang cetak rompak). Memang sebenarnya kalau orang kata, ia sebenarnya macam tabur duit jelah.
“Jadi kita kena harapkan pasukan dapat ‘perform’ dan kehadiran penonton mungkin akan meningkat. Tapi bila kita nak harapkan yang itu pun, orang kata tiket RM20 mahal. Jadi bagi saya benda ini agak sukar nak dibaiki,” katanya.
Ujarnya lagi, bagi membantu meringankan beban kelab-kelab Liga M termasuk Perak FC, beliau mencadangkan agar dua pasukan pembangunan yang bertanding di Piala Presiden dan Piala Belia diberikan semula kepada Persatuan Bolasepak Negeri (FA).
“Jadi pandangan saya peribadi, untuk bagi memastikan dapat sokongan yang lebih baik setiap pasukan kena patah balik untuk beri kepada FA. Nilai komersial sendiri juga akan naik kalau kita bekerjasama begitu,” katanya.
Untuk rekod, penswastaan Liga M bermula pada musim 2020 bertujuan untuk memisahkan peranan FA dan kelab agar pasukan yang bertanding dalam liga dapat bergerak secara profesional sekali gus sejajar dengan syarat ditetapkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Fifa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




