Marseille: Penyerang Inggeris, Mason Greenwood berkata dia hanya mahu melihat ke hadapan apabila dia ditanya pada sidang akhbar pertamanya di Marseille mengenai kekecohan yang ditimbulkan ketika ketibaannya di kelab itu.
Pemain berusia 22 tahun itu digantung pada Januari 2022 oleh Manchester United berikutan dakwaan cubaan merogol dan serangan seksual tetapi pihak pendakwa membatalkan tuduhan pada Februari 2023.
Penyokong Marseille, termasuk Datuk bandarnya Benoit Payan, mengecam pembelian pemain itu.
“Saya faham soalan itu, tetapi saya tidak mahu terbabit dalam sebarang perbualan atau perbincangan mengenainya.
“Saya hanya ingin melihat ke hadapan dan menjadi sebahagian daripada Marseille serta bergerak ke hadapan dengan diri saya sendiri, keluarga, anak perempuan dan pasangan saya serta seluruh kelab. Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada bola sepak dan kehidupan di luar padang bersama keluarga saya,” kata Greenwood.
Greenwood menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Getafe dalam La Liga Sepanyol. Marseille membayar Manchester United €30 juta euro (RM166.90 juta) untuk penyerang itu.
“Saya orang pertama yang memahami bahawa ketibaan Mason menimbulkan banyak persoalan. Tetapi kita bercakap tentang masa lalu.
“Ia situasi yang kompleks dan sudah lama,” kata Presiden Marseille, Pablo Longoria. “
Greenwood menjaringkan 10 gol dan enam bantuan jaringan dalam 36 perlawanan bersama Getafe musim lalu.
“Dalam kehidupan peribadi saya, ketika saya tinggal di Madrid musim lalu semuanya berjalan dengan baik bersama pasangan dan anak perempuan saya. Kami tinggal dengan selesa dan gembira di Madrid,” katanya.
Penyerang Inggeris itu dijangka akan memulakan perlawanan persahabatan pertama Marseille musim ini menentang Nimes pada hari esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




