aida_adilah@hmetro.com.my
Sepang: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia dilihat sudah bersedia beraksi pada Sukan Olimpik Paris yang bakal berlangsung dari 26 Julai sehingga 11 Ogos depan.
Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.30 malam tadi menuju ke Paris dengan penerbangan Singapore Airlines jam 9.45 malam dalam misi memburu pingat emas pertama di temasya terbesar dunia itu.
Bagaimanapun juara Seluruh England 2021 itu bagaimanapun enggan di temu bual media namun mengangguk ketika diajukan sama ada sudah bersedia untuk beraksi di Paris 2024.
Pemergian Zii Jia diiringi oleh jurulatihnya, Wong Tat Meng, kakaknya iaitu Lee Zii Yii selaku pengurus selain jurulatih kecergasan, Lim Joe Heang; fisioterapi, Rayvadee Rattanakthada dan rakan sepelatih, Lee Shun Yang.
Zii Jia akan turut ke gelanggang Porte de La Chapelle Arena (Adidas Arena), Paris pada 27 Julai untuk bagi aksi peringkat kumpulan G.
Dia diundi bersama-bersama pemain ranking ke-72 dunia dari Sri Lanka, Viren Nettansinghe dan juga pemain nombor 63 dunia dari Sepanyol, Pablo Abian.
Sekiranya pemain kelahiran Kedah itu mengungguli peringkat kumpulan, Zii Jia berkemungkinan membuat perhitungan awal dengan pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting (kesembilan dunia) dalam pusingan 16 terbaik untuk memburu tempat di suku akhir.
Difahamkan, hanya Zii Jia dan Tat Meng akan menginap di perkampungan atlet yang terletak di Daerah Saine-Saint-Denis di luar Paris memandangkan hanya mereka yang mendapat akredtasi.
Sebelum ini, Zii Jia secara terbuka menetapkan sasaran untuk membawa pulang emas dari Paris.
Olimpik Paris menjadi penampilan kedua Zii Jia di temasya terbesar dunia itu selepas Olimpik Tokyo 2020, tiga tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd