am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Keadaan wanita yang parah selepas dirempuh balak di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, dekat Gua Musang, Selasa minggu lalu bertambah baik selepas menjalani prosedur menebuk perut kelmarin.
Kakak mangsa, Roslinda Jusoh, 40, berkata, adiknya, Siti Norelyana Kamaruzaman, 21, menunjukkan tindak balas positif selepas prosedur itu.
“Alhamdulillah keadaan adik bertambah baik dan sentiasa memberi tindak balas jika kita bercakap dengannya. Adik juga sudah sedar namun masih tidak boleh bercakap.
“Kami dinasihatkan supaya tidak banyak bercakap dengan adik kerana akan membuatkan dia letih,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, dia sekeluarga berasa lega melihat keadaan adiknya yang semakin baik dan masih dipantau oleh doktor serta petugas Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Dalam kejadian itu, Siti Norelyana parah dirempuh kayu balak dari lori yang terbalik di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Sebuah lori membawa muatan kayu balak terbalik ketika melalui persimpangan lampu isyarat itu menyebabkan Siti Norelyana yang menunggang motosikal tercampak dirempuh kayu balak yang terjatuh dalam kejadian pada 11.23 pagi itu.
Susulan itu mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang sebelum dirujuk ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




