hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Persekitaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang tidak mesra warga emas bukan saja menyukarkan pergerakan harian, malah berpotensi memberi kesan serius terhadap kesihatan mental dan perkembangan psikologi golongan itu.
Pensyarah Kanan Psikologi Perkembangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata, masalah seperti lif rosak, tangga curam dan ruang sempit menyebabkan ramai warga emas memilih untuk terus berada di rumah kerana bimbang keselamatan mereka.
Katanya, keadaan itu secara tidak langsung menghalang warga emas menjalani kehidupan sosial dan rutin aktif yang penting untuk kesejahteraan mental pada usia tua.
“Dalam psikologi perkembangan, warga emas memerlukan aktiviti sosial, pergerakan fizikal dan interaksi harian untuk memastikan emosi serta fungsi mental mereka kekal baik.
“Namun apabila persekitaran fizikal tidak menyokong, mereka akhirnya kurang keluar rumah dan mula mengasingkan diri,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, walaupun ramai penghuni PPR mempunyai hubungan kejiranan yang rapat, keadaan fizikal bangunan tetap menjadi halangan besar terutama bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan pergerakan.
“Terdapat warga emas tinggal di tingkat tinggi walaupun mengalami sakit lutut atau menunggu rawatan pembedahan sehingga menyebabkan mereka hidup dalam kebimbangan berterusan.
“Risiko jatuh, susah turun naik tangga dan bergantung kepada bantuan orang lain memberi tekanan psikologi kepada mereka. Apabila terlalu bergantung kepada jiran atau pihak lain untuk bergerak, mereka juga boleh kehilangan rasa autonomi dan keyakinan diri,” katanya.
Abdul Rahman menjelaskan, keadaan itu boleh menyebabkan pengasingan sosial secara paksa selain meningkatkan risiko kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan warga emas.
“Kurangnya interaksi sosial dan aktiviti luar rumah juga boleh mempercepatkan kemerosotan fungsi kognitif termasuk risiko demensia.
“Apabila mereka hanya duduk di rumah setiap hari tanpa banyak interaksi atau aktiviti, otak kurang menerima rangsangan yang diperlukan,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu melihat isu kemudahan asas di PPR termasuk lif rosak sebagai perkara serius kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan psikologi warga emas.
“Ini bukan sekadar isu teknikal atau penyelenggaraan bangunan tetapi turut membabitkan kesihatan mental dan kualiti hidup mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




