am@hmetro.com.my
Gua Musang: Lebih 400 pekebun di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini, buntu apabila kebun durian mereka sering berdepan serangan haiwan liar, sejak Mei lalu.
Penduduk mendakwa, dalam tempoh itu, pokok durian mereka yang sudah membuahkan hasil dirosakkan oleh haiwan liar seperti kera, beruk dan tupai.
Pekebun, Mohd Johan Awang Kecik, 55, berkata, disebabkan serangan haiwan liar itu, hanya 10 peratus hasil buah durian dapat dikutip pemilik pekebun.
Katanya, penduduk kini buntu memikirkan kebun durian yang diserang haiwan liar itu sehingga ramai yang terpaksa ‘berputih mata’.
“Serangan haiwan liar ini sangat memberi kesan kepada pekebun di sini, kerana ada antara kami yang mengusahakan kebun secara sepenuh masa dan hanya bergantung kepada pendapatan menjual hasil kebun.
“Rasa sedih, kecewa dan putus asa, apabila hasil yang diharapkan dapat dijual pada musim buah ini dirosakkan oleh haiwan liar seperti beruk dan kera yang suka menjatuhkan buah yang belum masak.
“Saya sendiri terpaksa mengupah beberapa individu Orang Asli dari Kuala Betis untuk datang dan menyumpit haiwan liar ini dari terus mengganggu durian di kebun saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Bagi bekas pesara, Mohd Nawi Mat, 70, menyifatkan serangan haiwan liar terhadap kebun durian penduduk adalah yang terburuk pada tahun ini.
Katanya, serangan haiwan liar itu bermula sejak Mei lalu apabila pokok durian mula mengeluarkan buah.
“Saya sebagai pesara masih ada pendapatan untuk menampung kehidupan seharian, tetapi bagi mereka hanya hanya bergantung kepada pendapatan hasil kebun pastinya sangat terkesan dengan keadaan ini.
“Cadangan saya sekiranya boleh, diwujudkan semula lesen senjata api hanya untuk musim buah bagi menghalau haiwan liar ini. Sampai bila kami akan bertahan dengan keadaan ini. Mengharapkan ada hasil untuk dijual, tetapi hampa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
